Followers

Monday, January 31, 2011

Coklat, Ahhh Sedapnya...

Salam semuanya. Bertemu kita kembali. Semoga dibawah limpahan rahmat Yang Maha Esa hendaknya. Macam mana hari minggu kalian? Hari Ahad aku seharian kehujanan. Huhuhu. Aku hanya mampu jadi penunggu setia rumah. Mula-mula tonton Melodi. Lepas tu Nona, Lepas tu filem Tamil. Lepas tu aku sudah tak tahu nak menonton apa.

Kalian suka coklat? Siapa yang tak sukakan. Aku yakin ramai yang menggemari coklat. Begitu juga aku. Cuma kebelakangan ini aku kemaruk makan coklat. Hari-hari mesti makan coklat. Coklat menggemukkan? Tidak! Tidak percaya? Percayalah...

Sebelum aku memberikan fakta, renteti dulu pengalaman aku yang suka memakan coklat. Coklat yang menjadi pilihan aku, memang 100% coklat asli yang tiada campuran kacang, raisin, badam dan sebagainya. Seorang kenalan yang merupakan pakar pemakanan menasihatkan aku supaya memilih coklat yang tiada campuran seperti diatas. Kita sebenarnya tidak tahu bahawa coklat mampu mengawal berat badan. Ini bukan fakta tetapi berdasarkan kajian yang aku buat pada diri aku. Hahaha (Jangan gelak dan baca seterusnya.)

Kalau anda baca entry aku sebelum-sebelum ini, pasti kalian semua menyedari betapa taksubnya aku dalam proses mengawal atau menurunkan berat badan. Jadi coklat menjadi bahan ujikaji aku. Selepas Sarapan pagi (kebiasannya aku akan makan kuih 3 ketul bersama bihun ataupun nasi lemak atau nasi putih bersama lauk) aku akan makan coklat sebanyak sebaris (atau ikut rasa nak makan). Selepas makan tengah hari (biasanya aku makan nasi campur) pun aku susuli dengan makan coklat. Begitu juga dengan makan malam yang kebiasaannya aku cuma makan nestum, beehon sup ataupun beehon goreng. Hasilnya, berat badan aku maintain 66kg selama hampir 3 bulan (tanpa senaman). Tak percaya? Baca lagi...

Selama aku makan coklat setiap hari, aku juga pernah mengelakkan untuk memakan nasi. Aku makan nestum sahaja setiap hari. Selepas makan aku makan coklat. Hasilnya, berat badan aku berkurangan sebanyak 1kg dalam tempoh sebulan. Kalau tidak percaya lagi, mari kita lihat fakta menarik berkenaan coklat

perbandingan koko dengan minuman yang lain


Makanan berkhasiat
mengikut pemakanan seimbang dalam tubuh badan kita, tubuh badan kita memerlukan;
  1. 35% jumlah lemak dalam pengambilan tenaga.
  2. kira-kira 15% jumlah protein dalam pengambilan tenaga.
  3. 50% kabohidrat dalam pengambilan tenaga.
maka coklat menyumbangkan;
  1. 15% lemak.
  2. 6% protein.
  3. 17% kabohidrat.
  4. dan lain-lain vitamin mineral yang diperlukan.
sedikit sahajakan coklat yang dimakan bagi menyumbang bekalan tenaga kita seharian. Belum sempat coklat tu hadam, sudah menjadi kalori untuk di bakar.


Lemak Koko dan Coklat Merendahkan Paras Kolestrol
Coklat mengandungi;
  1. kira-kira 38.2% Asid Oleik, sejenis asid lemak tidak tepu yang berperanan merendahkan paras kolestrol didalam darah.
  2. Asid Sterik, asid lemak tepu yang mempunyai kesan neutral dalam darah yang membantu mengurangkan paras kolestrol.
Nampakkan? Coklat bukanlah peyumbang utama kepada masalah kencing manis.


Anti Kerosakan Gigi
Menurut kajian, coklat mengandungi Tannin, Kasein dan Asid Oksalik.
  1. Tannin, sejenis bahan yang menghalang pembentukan bateria yang menyebabkan pembentukan plak dan asid didalam mulut.
  2. Kasein pula membantu menghalang pertumbuhan plak dan membantu dalam pertumbuhan gigi.
  3. Asid Oksalik merencatkan pengeluaran enzim bateria dan seterusnya menghalang pengeluaran asid.
Amacam? Puas hati? Ada lagi...


Mengurangkan Risiko Sakit Jantung
Sejenis bahan kimia didalam coklat; Phenol menghalang lemak seperti zat dari teroksida dan menyumbat arteri atau saluran darah dan secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko mendapat sakit jantung.

perbandingan koko dengan makanan yang lain


Dengan pengalaman aku dan fakta-fakta yang disumbang oleh Bowes and Church's Food Values of Portions Commonly Consumed dapatlah aku simpulkan bahawa coklat lebih banyak mendatang kebaikan dari keburukan. Tapi janganlah sepapan tu kamu hadap sehari. Memanglah mendatangkan mudarat. Sepapan besar Cadbury Turkish Delight tu, aku boleh habiskan dalam tempoh satu ke dua minggu. Kalau sehari semalam dah kamu habiskan makan, alamatnya masuk hospital la jawabnya.

Sunday, January 30, 2011

Hujung Minggu

Salam Semua. Salam satu Malaysia. Semoga dalam limpahan dan Rahmat daripada Allah S.W.T. Selamat berhujunh minggu. Hujung minggu aku tidak seindah yang disangka. Huhuhu. Tapi Alhamdulillah tidak seteruk mana.

Selepas solat Subuh dipagi Ahad, aku terlelap lagi. Bukan kehendak aku. Tapi mata ini macam digam-gam. Kebelakangan ini aku mengalami kesukaran untuk melelapkan mata. Jenuh rasanya cuba untuk tidur. Tapi tak berjaya. Bila menghampirir waktu Subuh, baru mata mahu terlelap. Itu pun sekadar tidur-tidur ayam sahaja.

Nasib baik bila hari siang aku tak terasa mengantuk. Bila nak masuk waktu Mahgrib baru terasa nak tertidur. Bila ditahankan, sampai ke Subuhlah baru mata mahu terpejam.

Bangun pagi Ahad, matahari sudah meninggi. Nak keluar berjalan terasa tersangatlah malas. Dengan hujan mencurah kebumi dan cuaca sejuk-sejuk manja membuatkan aku terasa malas nak mandi. Hahaha.

Akibatnya duduklah dikaca televisyen, melayan segala cerita yang ada. Selamat berhujung minggu kepada semua...

Friday, January 28, 2011

Berhentilah Merokok

Ihsan Pakcik Yahoo


Salam semua. Semoga dibawah lindungan Yang Maha Esa hendaknya dan ceria-ceria selalu. Wahhhh! Sekarang aku terlalu rajin mengupdate blog. Tapi bukan bermakna aku terlalu lapang. Tapi aku curi-curi masa seketika untuk menulis.

Kali ini aku ingin berkisah perihal rokok. Aku yakin ramai diluar sana tak kira lelaki mahupun wanita yang merokok. Kalau wanita yang merokok, terlalu janggal rasanya. Tapi bagi lelaki, mungkin itu sudah kebiasaan. Lelaki dengan rokok dah macam aur dengan tebing. Dah sinonim dan tak mungkin dapat dipisahkan. Mungkin ada juga lelaki yang tidak merokok. Contohnya aku. Hehehe. Aku bukanlah dikalangan lelaki yang merokok. Sejak dibangku sekolah lagi aku tak berapa gemar nak merokok. Bukan tak pernah mencuba. Tapi mungkin aku tak suka rasanya. Kalau ada rokok perasa vanilla, mungkin aku jadi perokok tegar kot. Tapi ada ke? Hahahaha.

Aku ada seorang abang yang boleh aku kategorikan sebagai seorang perokok tegar. Rokok dan beliau tidak dapat dipisahkan. Walaupun pelbagai iklan tentang bahayanya merokok terpampang dimerata, tapi beliau suka mengambil sikap endah tak endah. Aku dan kakakku beberapa kali menasihati beliau supaya berhenti merokok demi masa depan anak-anak beliau yang masih kecil. Mungkin beliau selamat, tapi asap yang terhembus keluar tidak selamat dan berkemungkinan disedut oleh anak-anak yang masih kecil.

Selama ini kata-kata kami hanya didengar tapi tidak dituruti. Alasannya terlalu sukar untuk berhenti merokok. Yelah! sudah hampir 15tahun menjadi hamba rokok. Mula-mulanya sehari sebatang, lama-lama menjadi dua kotak sehari. Tak ke mampus namanya!

Sudah agak lama aku tidak berhubung dengan beliau. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Beberapa bulan lepas baru aku berkesempatan berbual panjang. Selama ini hanya bersms berbasa basi sahaja. Berita yang kuterima teramatlah mengejutkan. Beliau sudah berhenti merokok hampir 2 bulan setengah dan berlaku dalam tempoh 24jam sahaja. Hah! tak percaya? Percayalah...

Ada kisah disebaliknya... Suatu hari yang tidak diduga, abang aku ni terkena demam mengejut, sakit dada dan batuk berkahak yang berlarutan. Walaupun demam dah kebah tapi batuk masih lagi berlarutan. Malahan sampai berkoko-kokol. Maka beliau pergi membuat pemeriksaan susulan di sebuah klinik kerajaan. Setelah di periksa dan di X-ray, doktor mengesahkan yang abang aku ni sekadar menghidap batuk biasa. Legalah hati seketika.

Sekembalinya kerumah, beliau memeriksa kembali filem X-ray tersebut dan alangkah terperanjatnya beliau bila ada sebahagian dari paru-paru beliau tidak berapa jelas kelihatan. Beliau mula berfikir yang bukan-bukan. Walaupun doktor telah menerangkan sebelum itu bahawa beliau hanya terkena batuk biasa, tapi beliau masih tidak yakin dan berpuas hati. Walaupun ubat yang diberikan, dimakan mengikut aturan tapi batuk beliau masih tidak berkurang. Apa yang terlintas difikiran beliau ketika itu ialah kanser paru-paru sahaja. Disebabkan kerisauan yang melampau akhirnya beliau berhenti merokok immediately dalam tempoh 24jam. Hahahaha. Aku gelak guling-guling mendengar kisah beliau ini. Bukannya bersimpati. Sebab aku dah terlalu masak dengan perangai beliau. Sesuatu perkara diambil kira dengan terlalu serius tanpa dikenal pasti fakta dan butirannya.

Kerisauan beliau ini berlarutan untuk tempoh yang lama. Dimana dalam tempoh tersebut abang aku sudah berhenti merokok. Bila aku tanya kenapa tak rujuk kembali dengan doktor yang memeriksa dulu ataupun buat pemeriksaan susulan diklinik yang lain? Jawab beliau, beliau takut dengan berita yang tidak menggembirakan. Hahaha. Sengal sungguh abangku ini. Daripada dia ketakutan sendiri, apalah salahnya mencari kepastian...

Dalam pada mahu tak mahu akhirnya beliau merujuk X-ray beliau yang paru-parunya tidak kelihatan tu kepada boss beliau yang merupakan bekas doktor pakar dibeberapa buah hospital kerajaan dan juga hospital private disekitar Malaysia. Setelah diteliti dan membuat pemeriksaan susulan maka barulah dikenal pasti bahawa paru-paru beliau yang tidak kelihatan jelas di filem X-ray tu adalah disebabkan oleh kurangnya daya tekanan keatas plat X-ray ketika X-ray dijalankan. Maka imej kekaburan dan kepelikan itu terhasil di filem. Hahaha. Serius, aku gelak giler mendengar cerita beliau. Hanya kerana ketakutan dihinggapi penyakit kanser paru-paru, beliau yang dahulunya perokok tegar terus berhenti merokok serta-merta. Pada hal kesahihannya belum dikenal pasti lagi. Batuk yang beliau hidapi adalah disebabkan oleh jangkitan kuman diparu-paru jer.

Alhamdulillah, sampai kehari ini beliau sudah berhenti terus daripada merokok. Baru-baru ni aku berjumpa beliau, badan beliau pun sudah berisi. Malahan lebih berisi dari biasa. Mungkin kesan dari berhenti merokok yang secara mengejut. Beliau ada juga menyatakan yang kadang-kadang timbul keinginan untuk merokok kembali bila melihat orang lain merokok. Tapi aku selalu nasihatkan seandainya ketika itu memang beliau disahkan menghidap kanser paru-paru, apa yang akan beliau lakukan? Beliau terdiam... Allah memberi hidayah hanya sedetik sahaja. Anggaplah apa yang beliau lalui seumpama mendapat nyawa kembali

Begitulah kisah abang aku. Sebenarnya, bila kita inginkan sesuatu, kita seharusnya berusaha untuk mendapat dan mencapainya. Begitu juga bila kita berazam untuk berhenti merokok, kita seharusnya cuba untuk berhenti. Bukan sekadar menanam azam, tetapi dilaksanakan dengan mengambil kira strategi-strategi yang harus diguna pakai. Begitu juga dengan perkara-perkara lain disekeliling kita.

Seandainya ketika itu memang abang aku ni disahkan menghidap kanser paru-paru, bayangkanlah apa yang bakal terjadi... Anak sulung beliau baru berumur 10 tahun dan yang bongsu baru berusia 1 tahun 4 bulan... Renung-renungkanlah...

Thursday, January 27, 2011

Malas Yang Merosakan

Salam semua... Semoga semuanya dibawah lindungan Yang Maha Esa. Kebelakangan ini perasaan malas begitu menguasai perasaan dan hati aku. Malas membuat kerja, malas menggerakkan otot, malas berfikir...

Perasaan malas ni berlarutan sehingga menjejaskan pembelajaran aku. Aku hanya tinggal satu subjek lagi tapi tak habis-habis. Setiap kali aku memegang kertas tesis aku, dan bila tiba disuatu tahap otak aku buntu bercelaru, tak tahu nak dahulukan yang mana satu, akibatnya aku tutup buku dan tidur.

Ditempat kerja pula bila terlalu banyak proses charging dan discharging aku dah jadi bercelaru. Begitu juga dengan proses shelving. huhuhu

Sebenarnya perasaan malas tidak baik untuk diri kita. Kalau dibiarkan, semua kerja pun tidak menjadi. Kadang-kadang perasaan malas itu timbul bukan kerana sikap sambil lewa kita ataupun kerana sikap tidak bertanggungjawab.

Sebagai contoh, perasaan malas boleh timbul bila setiap hari kita menghadapai masalah yang sama. Bila diselesaikan akan timbul masalah yang lain pula. Maka secara tidak langsung rasa malas itu timbul dengan sendirinya.

Lagi satu rutin harian yang membosankan. Contohnya, bangun pagi, pergi kerja... Petang balik kerja... Malam tidur. Itulah rutin dari Isnin sampai Jumaat. Tiba hujung minggu, balik kampung jumpa keluarga. Tiba hari Isnin bermulalah balik rutin harian seperti biasa.

Perasaan malas ini boleh diatasi. Dengan sikap semangat juang dan sikap tidak kenal erti putus asa, Insyaallah akan berjaya. Pucuk pangkalnya diri kita sendiri. Sama ada mahu berubah ataupun tidak. Jadi tepuklah dada...

p/s: peringatan untuk diri aku juga

Wednesday, January 26, 2011

Kenangan Zaman Persekolahan

Salam semua... Semoga didalam lindungan Allah S.W.T. Serta mendapat limpahan rahmat daripada Nya. Kali ini aku ingin bercerita kenangan-kenangan dizaman bangku sekolah dulu. Selepas menamatkan persekolahan darjah 6, aku menyambung persekolahan ke Sekolah Agama Menengah Muhammadiah Batu 40, dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Sekolah agama yer... Hehehe. Tapi perangai, perbuatan dan pertuturan aku dulu dan sekarang tidak mencerminkan aku kearah itu. Bukan kerana pengaruh, tetapi itu sikap aku sejak azali. Ketika kawan-kawan aku yang lain sibuk bersongkok dan berkupiah ketika diluar sekolah, aku lebih suka tidak memakainya. Ketika itu, waktu persekolahan, semua pelajar wajib memakai songkok. Aku memakainya ketika masa persekolahan sahaja.

Mungkin menyedari perangai aku ini, Ayah aku berusaha untuk menyekolahkan aku ke skolah aliran agama. Bagi aku, mana-mana sekolah pun sama. Mungkin kerana kedegilan aku ketika itu, tanpa dipinta aku dijadikan Pengawas ketika menginjak ke Tingkatan 2, mungkin dengan harapan guru-guru bahawa itu akan mendisiplinkan aku. Ketika pemilihan Pengawas dilakukan, nama aku tiada langsung dalam senarai. Tetapi bila pengumuman dibuat, aku terkejut bila nama aku naik. Waktu tu, aku tengah bikin kecoh dengan kawan-kawan kat barisan paling belakang sekali.

Alhamdulillah, mungkin boleh dikategorikan berhasil... Perangai aku lebih berdisiplin. Malu weeii kalau Pengawas kena denda. Sedikit demi sedikit aku berubah. Berubah sikit jer. Tapi perangai tetap ditakuk lama. Mungkin dari segi tanggungjawab aku lebih berdisiplin dalam melunaskannya.

Masuk tingkatan 3, sikap tanggungjawab aku semakin menebal. Mungkin disebabkan peperiksaan PMR menjadikan aku lebih kuat berusaha. Tapi benar kata orang, kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan. Keputusan PMR aku tidaklah segah yang disangkan. Tapi aku tetap bersyukur.

Menjejakkan kaki ke tingkatan 4 membuka lembaran baru buat aku. Kata orang, tingkatan 4 adalah waktu peralihan untuk musim percintaan. hahaha. Sebab tiada peperiksaan melainkan persediaan untuk peperiksaan SPM di tingkatan 5. Tapi tidak bagi mereka yang bersekolah dibawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kami bertungkus lumus menyediakan diri untuk peperiksaan SPM dan juga peperiksaan SMA (Sijil Menengah Agama) @ Empat Thanawi. Bagi aku masa itu cukup menyeksakan. Segalanya perlu dihafal. Kalau tak, tak dapat menjawab. Alhamdulillah, aku lulus walaupun bukan dikalangan yang terbaik tapi melayakkan aku untuk menyambung ke tingkatan 6 bawah bagi aliran agama untuk persediaan peperiksaan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia).

Masuk tingkatan 5, masa untuk bermain dikurangkan. Masa yang ada lebih ditumpukan untuk mengulangkaji pelajaran. Peperiksaan SPM merupakan nadi untuk masa depan. Walaupun begitu, aku masih lagi menyempatkan diri untuk menyertai kegiatan kokurikulum. Waktu tu pidato Bahasa Enggeris dan bahas menjadi pilihan. Tahun tu aku berazam untuk merampas kejuaran diperingkat negeri untuk kategori pidato. Alhamdulillah, hasrat aku tercapai. Malahan ketika peperiksaan SPM diumumkan aku antara pelajar yang cemerlang di bidang akademik dan juga kokurikulum.

Siapa sangka, budak yang dulu kerap kene denda berjemur, kena rotan disingkirkan kawan-kawan mampu merubah nasibnya di sekolah menengah. Bila kita dibawah, tidak selamanya kita akan berada dibawah. Hidup ini umpama putaran roda. Sekejap kita diatas, sekejap kita dibawah dan nasib kita selalu berubah-ubah...

Tuesday, January 25, 2011

Kembali

Salam semua. Semoga dibawah lindungan yang Maha Esa hendaknya (bagi yang beragama Islam) dan salam sejahtera bagi yang bukan Muslim.

Haish... Lama sungguh rasanya aku tak bersiaran. Sedar tak sedar rupanya dah masuk tahun baru. Rasanya belum terlewat lagi untuk aku mengucapkan Selamat Tahun Baru. Sedar tak sedar juga, sudah masuk tahun kedua aku berblogging. Bagi usia seorang manusia, dua tahun masih terlalu mentah lagi. Baru bertatih untuk belajar berjalan, belajar bertutur dan baru nak tumbuh gigi. Begitu juga aku. Aku masih lagi bertatih-tatih dalam berblogging. Masih lagi mencari momentum yang sesuai untuk selalu bersiaran.

Bagaimana dengan azam tahun lepas kalian? Adakah banyak yang tercapai? Bagi yang belum tercapai, cuba capainya pada tahun ini. Tetapkan matlamat yang baru, visi yang baru dan misi yang baru untuk mencapai azam tahun lepas yang tidak tercapai. Bagi diri aku, tak perlu untuk menunggu tibanya tahun baru, baru kita nak berazam atau memperbaiki azam. Bila-bila masa pun boleh janji matlamat dan iltizam kita ditetapkan.

Tahun lepas banyak yang aku angan-angankan. Ingin menamatkan zaman bujang, menghabiskan pengajian aku serta mendapatkan pekerjaan yang lebih bagus dan selamat. Tapi kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan. Mungkin strategi yang aku gunakan tidak berkesan dan aku perlu memperbetulkan strategi untuk mencapai apa yang aku azamkan.

Hampir sebulan aku tidak menulis membuatkan aku terfikir untuk menamatkan sahaja riwayat blog ini. Tapi bila dipertimbangkan balik, terasa sayang pula. Dengan blog inilah dulu aku bercerita mencurahkan rasa yang terbuku dihati. Berkongsi pendapat dengan mereka yang sudi membacanya. Ketika itu aku belum lagi pandai menggunakan Facebook. Maka aku batalkan saje niatku ini. Walaupun jarang bersiaran, tapi blog ini masih lagi hidup dan bernyawa.

Terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang sudi keluar masuk menjengah blog ni. Meninggalkan jejak walaupun yang berjejak tu hanya sekadar mesin, tapi aku tetap hargai.