Followers

Wednesday, December 15, 2010

Cinta Pun Bersemi Kembali...

Salam semua. Semoga senantiasa dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Terima kasih diatas segala maklum balas dan komen yang diberikan keatas cerita-cerita yang aku coretkan sebelum ini. Aku belum lagi punya kesempatan waktu untuk aktif berblogging macam dulu serta membalas segala komen dan maklum balas kamu semua. Terima kasih bagi mereka yang rajin meninggalkan jejak di sini walaupun hakikat yang menjengah adalah mesin dan bukannya kamu semua sendiri. He he he. Apa pun aku hargainya.

Kebelakangan ini aku amat aktif ber Facebook berbanding blogging. Apa bezanya blog dengan Facebook? Amat sukar sebenarnya untuk aku berblogging secara mobile. Selama ini aku ber Facebook menggunakan handphone jer. Jarang aku online Facebook menggunakan PC atau laptop. YM dan Facebook chatting aku gunakan perisian NimBuzz (yang aku install kat dalam handphone). Sebab tu kamu semua dapat melihat online sepanjang masa. Berbanding dengan blog, skrinnya terlalu kecil untuk menulis dan membaca blog. Malahan blogger pun tiada dalam bentuk blogger mobile.

Tapi kalau aku hari-hari bercerita kat blog, bosan jugakan. Hari-hari update. Kalau sekali-sekala menulis, barulah kamu semua tenanti cerita aku yang seterusnya... Ceewahhh! (berangan artis 10 saat sekejap. Hahaha)

Baru-baru ini, NTV7 menyiarkan kembali drama Soap Opera China-Hong Kong yang menjadi kegilaan aku sekitar tahun 1996. Masa tu aku disekitar umur 13 ke 14 tahun. Balik jer kelas tambahan, terus Solat Asar, terus terkam televisyen. Ketika itu cerita ini ditayangkan disaluran TV3 dalam slot Jade Drama sekitar jam 6 petang. Menonton ketika seusia itu, aku rasa aku belum mampu lagi menilai kisah ini seperti sekarang. Masa itu pemikiran belum matang lagi. Tengok sekadar suka-suka.

Kali ini berbeza kesannya. Aku menilainya dalam pemikiran yang lebih positif dan halus. Saban episod mesti ada kisah yang meruntun jiwa dan pergolakan jiwa yang amat perit. Bukan calang manusia yang mampu tempuhi. Tetapi itulah sebenarnya peristiwa yang terjadi dipersekitaran kita tanpa disedari.



Kisah ini menceritakan kisah suka-duka 3 wanita dalam keluarga Fong yang mempunyai Idealisme yang berbeza. Tetapi berkongsi suami yang sama... Pergelokan hidup, perasaan simpati dan kasih sayang membuatkan mereka tekad berkongsi hidup bersama memperjuangkan nasib keluarga setelah ditinggalkan suami yang pergi berperang. Dari keluarga yang kaya raya, mereka jatuh muflis. Tetapi mereka bangkit. Dari seorang petani dan gelandangan yang buta huruf, mereka belajar membaca, menulis dan mengira... Belajar berniaga, dan akhirnya mereka berjaya mencipta nama dalam industri tekstil dan juga pembuatan arak. Disaat mereka menghampiri kejayaan, mereka mendapat khabar, suami mereka terbunuh. Didalam meniti arus sebagai balu, Sau Hau dan Man Fung bersatu hati sehingga suatu hari, suami yang dikatakan mati muncul secara tiba-tiba bersama ingatan yang telah hilang dengan ditemani seorang isteri... Hahaha. Masih kuat lagi ingatan aku pasal cerita ini.

Kisah ini berlatar belakangkan perang saudara di China sehingga kemasukan tentera Jepun ke China. Kalau ada kesempatan terluang, disambil mahu melelapkan mata sambil menantikan untuk solat malam, luangkan sedikit masa menontonnya. Ambillah yang positif, dan buanglah perkara yang negatif. Semoga anda terhibur...

Wednesday, December 8, 2010

... Dan Masa Pun Berlalu

Salam semua... Salam Maal Hijrah. Semoga tahun Hijrah yang baru ini membawa seribu keberkatan dan rahmat buat kita semua...

Adakah azam tahun lepas anda sudah tercapai? Kalau belum lagi tercapai, teruskan usaha untuk mencapainya ditahun ini. Masuk Awal Muharam, ada dua perkara yang terlintas dikepala otak aku (selain kisah penghijrahan Umat Islam ke Kota Madinah). Pertama; kisah sundel bolong dan kedua genap 2 tahun sebulan aku hidup berseorangan.

Aku kupas dulu kisah yang pertama. Aku meminati lakonan Allahyarhamah Suzanna. Terutama sekali filem Sundel Bolong. Hampir Kesemua lakonan beliau sebagai Sundel Bolong sudah ku tontoni malahan VCDnya juga menjadi sebahagian dari koleksi aku. Apa kaitannya ngn satu Muharam? hehehe. Kalau kalian ada menonton filem Sundel Bolong; Malam Satu Suro, mesti kalian akan ingat arwah Suketi dihidupkan semula dan dipaku menjadi manusia pada malam satu Suro dan dinikahkan oleh bapa angkatnya dengan manusia ditengah hutan rimba pun dimalam satu Suro. Suro itu sendiri membawa maksud Muharam dalam kamus bahasa jawa. Jadi bila tibanya Muharam, secara automatik aku teringat kisah Malam Satu Suro ni.

Adengan jampi serapah, menyeru kebangkitan roh Si Suketi yang berupa Sundel Bolong belum lagi dapat ditandingi oleh mana-mana filem seram (bagi akulah). Bagi aku, scene tu adalah yang terbaik sekali. Suasana malam yang sunyi, diselangi dengan bunyi suara burung hantu, bisikan mentera yang memanggil roh Suketi, Kubur yang merekah berapi, kemunculan Sundel Bolong dari dalam kubur berterbangan... Perghhh. Walaupun banyak cacat celanya, tapi dizaman itu, itu adalah hasilnya yang terbaik. Dan bagi aku masih lagi terbaik.

Kisah kedua, ya... masuk jer Muharam, bermakna berakhirlah hubungan cinta terlarang aku. hahaha. Bila difikirkan semula, aku bercinta dan berkasih hanya selama lapan bulan jer disekitar tahun 2008. Lepas tu masalah mula timbul. Bagi aku tiada siapa yang bersalah. Mungkin keadaan tidak memihak kepada kami. Hampir setahun lebih aku macam orang gila talak. Fikiran menerawang teringatkan dia. Kerja tak jalan. Belajar pun entah kemana. Memang cukup sengsara ketika itu. Masa berlalu; sesaat, seminit, sehari, seminggu, sebulan, setahun dan Alhamdulillah rupanya sudah dua tahun sebulan. Dan aku semakin tabah. Betul juga kata orang dan kawan-kawan aku. "Masa akan melupakan kau kisah yang tak ingin kita lupakan..." Macam mana tu? Fikirlah sendiri. Hehehe

Kenapa kisah ini berbangkit lagi di sini? Katanya aku sudah boleh lupakan... Baru-baru ini aku mendapat berita dari seorang sahabat yang baru merasai dan meratapi nasib seperti aku. Kami pernah berjumpa sekitar bulan Oktober di Kuala Lumpur. Beliau menyatakan kerisauan yang tidak terhingga pasal hubungan cinta beliau yang dihadiri orang ketiga. Dan sekembalinya beliau ke Sarawak, aku mendapat khabar, cinta beliau punah ditengah jalan...

Sedih... Aku dapat rasai apa yang sedang ditanggung sahabatku itu. Saban malam menangis, meratapi... (jangan ingat lelaki takkan menangis bila putus cinta yer...). Sukar tidur, kualiti kerja merosot, merindu dan sebagainya. Apa yang aku mampu lakukan selain menyuruh beliau bersabar. Bukan sehari kita mampu menerima kenyataan bahawa orang yang kita cintai sepenuh hati, takkan mungkin akan datang kembali. Aku faham perasaan beliau. Kerana kami hampir serupa. Sukar untuk membuka hati pada orang lain. Sekali sayang, sayang sampai mati. Sekali benci, benci sampai mati... Sebab tu aku terlalu menjeruk rasa... Begitu juga dengan sahabatku ini.

Bila beliau bercerita, secara automatik juga aku teringatkan kisah aku. Aku dengan si dia, masih lagi berhubung. Masih lagi berkawan dalam istilahnya yang tersendiri. Kata orang, kemaafan adalah dendam yang terindah. Selagi kita berdendam, membenci bermakna kita masih lagi menaruh perasaan sayang padanya. pernah dengarkan istilah sayang tapi benci kan? Hah! macam tulah... Bila segala perasaan itu telah dibuang, kirannya macam bila memandang dirinya pun serupa macam aku memandang tin kosong, langsung tak berperasaan bermakna baru aku sedar, yang aku sudah mampu hidup tanpa dirinya... Bukan mudah yer perasaan tu timbul.

Macam aku cakap tadi, sekarang ni aku masih lagi berhubung dengan sidia. Kalau sidia memerlukan pertolongan, aku sedia membantu. Begitu juga dengan sidia. Untuk sahabat aku tu, aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau. Aku harap kau mampu jadi lebih tabah daripada aku. Biarkan masa yang merawat luka kau. Dan jangan biarkan kenangan itu boleh membunuh kau. Dunia ini terlalu indah untuk kita tangisi... :-)

Thursday, November 25, 2010

Illuminations Oleh Josh Groban


Salam semua. Salam malam Jumaat yang ceria nan indah. Semoga kalian semua dibawah limpahan rahmat daripada Allah S.W.T (bagi yang beragama Islam)

Disaat orang lain mengagungkan Lady Gaga, aku meminati Carrie Underword. Mungkin kerana alunan muzik yang dibawanya berbeza daripada artis yang lain. Begitu juga bila nama Yuna, Anna Rafali jadi siulan, aku lebih menyukai alunan daripada S. Jibeng, A. Ramli, Ahmad Jais dan juga Haziq. Bila Letto, Kangen Band jadi pilihan, suka lebih suka mendengar alunan muzik daripada Linkin park, Limp Bizkit.

Baru-baru ini aku berpeluang memiliki album terbaru daripada Josh Groban; Illuminations. Aku akui, aku cukup teruja dan terpesona dengan lontaran suara beliau. Lagu-lagu seperti Alejate, Canto Alla Vita, Remember Me, Oceano, My Conffession menjadi siulan aku. Cukup berhantu ku rasakan.

Selepas muncul dengan album Awake, aku ternanti buah tangan terbaru beliau. Illuminations mendapat liputan meluas. Rata-rata peminat beliau berpuas hati. Tetapi tidak aku.

Track pertama dan kedua berkumandang, mula menyesakkan halwa telinga aku. Aku tak tahu mengapa.Semuanya macam serba tak sedap. Ada dua buah lagu yang betul-betul mampu berbekas dihati aku seperti Hidden Away dan Higher Window. Bila didengar kembali, lontaran suara beliau saling ditumpah seperti Andrea Bocelli.

Bila aku membuat rujukan di laman sesawang, baru aku ketahui, hampir 70% album Illuminations adalah hasil nukilan Josh Groban sendiri. Muzik dan juga liriknya. Malahan menggunakan label beliau sendiri untuk penerbitan pengedaran sambil dibantu oleh syarikat yang lain. Mungkin konsep album sbegini sesuai dengan konsep yang cuba diketengahkan oleh Josh Groban sendiri; easy listening. Aku akui, rangkaian lagu-lagu beliau dalam album ini lebih tersusun, dinamik dan catchy. Tidak terlalu berat untuk dihayati.

Mungkin juga aku yang terlalu taksub dengan lagu-lagu berhantu beliau yang terdahulu yang lebih bersifat targedi, sadis, sedih serta motivation, tidak boleh lagi menerima pembaharuan yang cuba disampaikan oleh beliau.

Kata orang, lain orang lain selera. :-)

Monday, November 22, 2010

Lemak Keliling Pinggang

Salam semua. Semoga dalam limpahan rahmat Allah S.W.T (untuk yang beragama Islam). Kali ini aku nak bercerita pasal masalah berat badan. Betul kata seorang kenalan. Nak menaikan berat badan tersangatlah mudah. Sarapan makan nasi, tengah hari karang makan nasi lagi. Malam makan nasi lagi. Tengah malam karang, nasi lagi. Lepas tu tak payah bersenam. Insyaallah berat badan naik macam dipam-pam. Kalau nak kurus, punyalah payah. Kena bersenam, berdiet, pergi gym. Macam-macam lagilah. Kiranya kalau nak kurus, menuntun pengorbanan yang bukan sedikit.

Aku cukup risau dengan masalah ini. Purata kaum kerabat aku; berat badan melebihi 80kg bagi yang lelaki. Dan yang perempuan pula melebihi 60kg. Haru kan...

Berat badan aku yang terberat pernah mencecah 90kg dan berat badan aku yang terseksi pernah mencapai 59-60kg. Sekarang berat aku 67kg. Berat ideal 64kg. Sudah hampir 3 bulan aku cuba menurunkan berat hampir ke 64kg. Memang tak berjaya. Tak tahu kenapa. Lemak kat perut ni hanya mampu berkurang sehingga 34" jer (dulu sampai 32"). Bermacam cara aku dah cuba. Cuma tinggal sedut lemak jer aku tak buat lagi. Masalah aku cuma lemak keliling pinggang jer. yang lain ok.

Kenapa aku terlalu ghairah memikirkan masalah berat badan? Bagi mereka yang pernah mengalami obesiti yang melampau, kemudian keluar blind date then direject sebab GEMUK, pasti bersedih hati kan? Lepas tu kalau lalu kat pusat membeli belah, makcik-makcik promoter ubat kurus directly datang kepada anda seolah macam diri kita ni terlalu gemuk, jijik serta seolah macam makhluk dari planet mana ntah... Betul tak? Bagi mereka yang bertubuh cantik persis DIVA secara semulajadi memang tak der masalah. Tapi kami ni yang bermula dengan gemuk kemudian menjadi kurus, cukup menitik beratkan soal makanan, penjagaan kesihatan dan berpakaian. Betul tak? Sebab kita pernah rasai apa yang orang lain tidak merasa

Memang kalian semua akan berkata; "terimalah dan bersyukur dengan diri kita seadanya..." Takkan kalian nak selamanya gemuk? Teringat satu peristiwa. Ketika aku dalam perjalanan ke Kuala Kangsar berketujuan menziarah orang meninggal dunia. Singgah sebentar di RnR Sungai Perak. Seorang budak bersama seorang lagi budak yang berkemungkinan adik dia, atau sepupu dia atau kawan dia menjerit dan menunjuk-nunjuk; "gemuk, hei! gemuk gedempol. Buncit." Lebih kurang sebegitulah ayatnya. Aku memerhatikan sekeliling. Siapalah yang dikatanya itu. Rupanya akulah satu-satunya manusia gemuk yang ada disitu. Sudah tentulah stament tu ditujukan kat aku kan. Tapi itu tak mencacatkan hati aku. Aku tetap maintain gemuk sehingga hampir 90kg.

Suatu ketika didalam tahun 2007. Masa tu aku sedang menanti kelulusan permohonan aku untuk menyambung pengajian ke peringkat Master, aku telah berkenalan dengan seseorang. Dari chatting, ke sms. Dari sms mula menelepon. Awal-awal sudah ku bilang. Aku gemuk. Tak handsome. Hujung-hujung pertemuan yang diatur buat pertama kali, dia menarik diri. Direct dia cakap kat aku; dia tak suka lelaki gemuk. Dia suka yang lawa-lawa dan slim jer. Kalau korang, apa korang rasa. Masa tu, Allah sahaja yang tahu hati aku ketika itu. Dari situ aku mula menanam azam untuk kurus. Aku tetap akan ingat muka, raut wajah dan manusia itu. Sampai bila-bila. Baru-baru ini takdir Allah aku bertemu secara tak sengaja dengan dia, ditempat yang tidak sepatutnya. Terkejut beruk aku. Meskipun dia still maintain lawa, tapi size pinggang dia lebih besar daripada aku dah. hahaha. Aku pasti dia tidak mengenali aku lagi... tapi aku tetap akan ingat dia. tetap!

Lagi satu punca aku cuba berkurus bila aku buat medical checkup untuk sambung belajar. Doktor menasihatkan kat aku, cuba menurunkan berat badan. Sebab saluran darah aku sudah tersumbat dengan kolestrol. Takut tak korang? hahaha

Detik itu bermulalah rutin aku mengawal pemakanan. Hampir setahun juga aku cuba menurunkan berat badan tapi berat yang mampu kucapai hanya sehingga 68kg sahaja. Hujung tahun 2007, aku mengalami sindrom putus cinta. Sampai kena migrain. Waktu makan tak lalu, mandi tak basah. Siang malam asyik memikirkan dia. Masa tu untuk aku mengurangkan kepala otak dari asyik memikirkan dia yang belum tentu memikirkan aku, aku banyak menghabiskan masa dengan berskiping. Bayangkan sehari aku boleh buat lebih dari 6000 kali. Setengah jam jer baru boleh dapat 2000 kali. Jadi berapa banyak masa yang ku habiskan untuk berskiping? Dengan tak lalu makannya, dengan exercise yang berlebihan, hujung-hujung aku terkejut bila nak beli seluar size 34 dah longgar. size aku ketika itu 30 atau 31. Memang betulah orang cakap. Kalau putus cinta memang mampu menurunkan berat badan...

Kemana Aku Menghilang...

Salam semua... Apa khabar? Merindui Aku? Hehehe. Aku rasa lebih sebulan aku tidak bersiaran diblog sendiri. Nak kata sibuk, tak juga. Saje je buat-buat sibuk. Hehehe.

Rupanya dalam sebulan aku tak post entry terbaru, ada juga yang sudi menjengah blog aku yang terseberapa ini. Sehari adalah juga 5-10 orang yang membacanya. Terima kasih kerana sudi menjengah ke Corat Coret. Okaylah juga dari tiada kan.

Kebelakangan ini, aku tersangat malas untuk mengupdate. Bukan tak der cerita menarik. Tapi tahap kemalasan aku menulis panjang-panjang tersangatlah melampau. Tapi Facebook hari-hari mesti update.

Aku tahu. Ramai yang tak senang hati dengan cerita aku yang lepas. Pasal perempuan berlagak diva. Terima kasih atas respon anda semua. Cerita itu memang benar-benar terjadi. Dan bukan aku tak nak menolong dia. Tapi aku rasa manusia sebegitu wajar menerima pengajaran... Lagipun ada lagi manusia yang perlu aku tolong iaitu Ayahku sendiri. Disini, secara terbuka aku ingin memohon maaf kepada yang terguris rasa. Selepas ini aku akan berhati-hati dalam penulisan aku...

Thursday, October 7, 2010

Perempuan Cantik Berangan Diva

Salam semua. Terasa sungguh lama aku tidak bersiaran. Terasa kekok pula untuk membuat entry yang baru. Hehehe. Apa khabar kalian semua? Masih lagi mode berhari raya ataupun sudah tidak sabar-sabar lagi menyambut ketibaan Pesta Cahaya yang bakal menjelang? hehehe.

Malam semalam aku menemani ayahku yang menghadiri jamuan makan yang dianjurkan oleh rakan-rakan perniagaan beliau yang berbangsa Cina. Jam sudah menunjukkan keangka 11pm ketika itu, tetapi orang masih lagi ramai diruang legar dan balkoni ditempat penginapan aku. Dalam waktu aku dan Ayahku menyusuri perkarangan rumah aku, sekilas aku terpandang perempuan cantik yang sedang menuruni anak tangga. Cukup cantik sehingga memukau aku...

Aku berfikir, untung wanita ini mempunyai raut wajah yang menawan serta rupa paras yang menarik. Beruntung anak dia mempunyai ibu secantik itu (jika dia sudah beranak). Untung suami dia kalau dia sudah berkahwin. Tidak pun, beruntung teman lelaki dia mempunyai kekasih persis Dewi dari kayangan kalau dia mempunyai teman lelaki.

Aku memandangnya, lantas melontarkan senyuman sebagai tanda semangat kejiranan. Tiada sekelumit niat dihati mahu mengurat mahupun cuba menjalin hubungan. sekadar satu isyarat 1 Malaysia... Alangkah sentapnya hati, bila dia menarik muka dan melerekkan jelingan mata yang tajam yang terlalu kekwat. Seolah-olah berbangga dengan kecantikannya yang bagi dirinya tak layak untuk menerima senyuman daripada aku yang sememeh ini. Gelagat dia ketika itu, kalau Miss World atau Miss Universe atau paling koman pun Miss Earth lalu melintas, lagak dia seolah-olah dialah yang paling menyelah aura kecantikannya sehingga menyilaukan mata orang yang lalu lalang. Tolonglah!...

Tapi hakikatnya, bila dia berselisih dengan aku, Ya Allah... Ya Rabbi Ya Karim... Bau badannya masam dan tengik. Kalau lembu ada disebelah pun boleh dapat penyakit lembu gila.

Orang yang berperangai sebegini biasanya mendapat balasan daripada Allah S.W.T secara tunai. Dan dan tulah dia jatuh terjelepuk. Bukan 1, tapi 3 anak tangga sekaligus. Nasib baik ketika itu ada Ayah aku. Kalau tidak, masa tu juga aku gelak guling-guling. Masa tu aku rasa macam nak palu kompang dan rebana. Nak panggil seluruh penghuni kediaman aku serta mahu membuat lambaian ala Miss World nak mengejek dia dengan bangganya betapa kecantikannya itu bertukar menjadi kebangangan. Hahahaha.

Sila ambil iktibar yer, wahai perempuan-perempuan cantik diluar sana. Lelaki kadangkala memandang hanya mengkagumi kecantikan kamu. Aku sendiri pun kadang-kadang teruja melihat perempuan cantik. Tapi maaf... bukanlah keinginan aku untuk mendampingi tapi hanya kagumi, hanya memuji... :-)

Naima Moora


Alex Wek


Fatima

Definisi cantik sangat berbeza bagi sesetengah individu. Tapi bagi aku, aku lebih menyukai perempuan-perempuan berwajah eksotik macam Naima Moora,(Winner ANTM Cycle 4), Fatima (Top 3 ANTM Cycle 10), Alex Wek (Supermodel, kaki dia cantik wooo!), Agbani Darego (Miss World 2001), Iman (Ikon Supermodel). Mereka ini mempunyai aura serta kecantikannya yang tersendiri berbanding wanita-wanita cantik seperti Heidi Klump, Beyonce, Kate Hermosa, Sofea Jane.... Wanita yang aku ceritakan ini bukanlah dikalangan wanita eksotik tetapi kecantikannya cukup menyerlah. Tetapi sayang, sombong...

Agbani Darego


Iman

Sunday, September 19, 2010

Nostalgia Raya

Salam Semua. Macam mana kalian? Masih lagi dalam mode berhari raya? Mode hari raya aku masih lagi menebal. He he he.

Dulu masa aku kecil, perkara yang paling best bila tiba hari raya, bila dapat duit raya. Kadang-kadang bila sampai musimnya boleh mencecah ratusan. Tapi aku hanya menunggu. Kalau orang bagi Alhamdulillah. Kalau orang tak bagi, mungkin bukan rezeki aku. Aku tak pandai menagih atau meminta. Tapi budak zaman sekarang Masyaallah... Ada yang meminta-minta. Malahan tak kurang juga yang mengingatkan. Mungkin juga peralihan zaman yang berlaku menyebabkan budak-budak sekarang lebih dewasa dari usia sebenar mereka.

Zaman sudah berlalu. Sekarang giliran aku pula memberikan duit raya. Tapi kadang-kadang aku pun dapat juga lagi. Paling seronok bila melihat adik-adik sepupu aku kegirangan menerima duit raya. Terkenang-kenang zaman aku kecil-kecil dulu.

Dulu kita menggunakan kad untuk menyampaikan ucap selamat hari raya. Sekarang ini dah bertukar. SMS, MMS dan email yang menjadi pengganti. Walaupun ringkas berbanding kad yang lebih berseni, mungkin cara sebegini lebih cepat dan tepat.

Aku masih teringat pantun-pantun yang menjadi titipan didalam kad bila menjelang Aidilfitri. Salah satunya:

Pecah Kaca Pecah Gelas
Sudah Baca Harap Balas

Ha ha ha. Sungguh indah zaman itu. Dan salah satu ayat yang menjadi kebiasan untuk ditulis didalam kad;

macam mana persiapan raya? kuih berapa jenis? baju raya berapa pasang? jemputlah datang kerumah raya ini. saya menanti kedatangan kamu...

He he he. sungguh nostalgia. Sekarang ni kalau pakai kad pun hanya tulis... Selamat Hari Raya Aidilfiti, Maaf Zahir dan Batin, Ikhlas daripada si polan dan keluarga. Ucapan disertakan dengan cop rasmi yang tertera nama dan pangkat... Ikhlas ke?

Dulu bila sudah masuk ke malam-malam terakhir Ramadhan, masing-masing sibuk memasang pelita. Suasana seperti ini pun mula berkurangan. Lampu lip lap lip lap yang menjadi pengganti. Lebih meriah dan moden katanya. Rumah aku sendiri pun dah tak memasang pelita lagi. Sekarang ini guna lampu spotlight dan kalimantang. Seluruh halaman bertukar cerah. Mungkin lagi senang gamaknya untuk malaikat turun naik mengaminkan doa. He he he

Menjelang kedatangan Syawal, ibu-ibu paling sibuk didapur. mengadun dan menguli kuih. Berjenis-jenis biskut raya dibuat. Resepi yang tak pernah dicuba pun dibuat walaupun tahu biskut dan kek tu akhirnya bantat. Sekarang ini tak perlu lagi menyeksa diri. Tunggu jer malam raya, kemudian terjah bazaar raya. Masa itu peniaga melelong biskut dan kerepek raya macam jual aiskrim. Boleh dapat 5 jenis kuih dengan harga RM45-50. Sungguh murah. Sekarang ni nak beli majerin 1 kg pun dah lebih RM10. Itu belum lagi beli tepungnya, gulanya dan bermacam jenis bahan membuat kuih. Silap-silap haribulan beli bahan buat biskut raya lagi mahal dari beli baju raya sendiri.

Paling best rancangan di televisyen bila menjelang hari raya ialah tayangan perdana filem-filem tempatan dalam dan luar negera. Masa tulah baru kita berpeluang nak menyaksikan Ziana Zain berlakon, Erra Fazira beraksi. Sekarang ni tengok filem pun dah macam tengok drama swasta. Cakera padat berlambak-lambak dijual. RM5 ada, RM19.90 ada, download free dari internet pun ada dah. Tak perlu nak tunggu musim raya.

Begitulah antara nostalgia dan kenangan raya dulu dan sekarang. Apa yang aku coretkan ini adalah berdasarkan pengalaman, persepsi, pengamatan dan juga pandangan peribadi aku. Anda pula bagaimana?

Syawal Datang Lagi

Salam semua... Salam 10 Syawal 1431 Hijriah. 11 hari berlalu, Corat Coret kosong tanpa berupdate. Visitors yang selalu membanjiri blog aku mula berkurangan. Tapi semangat untuk aku menulis masih membara cuma ada perkara tertentu yang membataskan aku dari terus berkarya:

1) masa
Ketika ini masa terlalu suntuk buat aku. Kadang-kadang baru nak on PC atau notebook, namaku sudah dilaung, mahu itu dan ini. Segala idea dan informasi yang berlegar diminda mula bertaburan bersepah-sepah. Bila on stand by menanti bila namaku dipanggil, takde pulak namaku berkumandang... Itulah alkisahnya bila masih berstatus seorang anak.

2) liputan yang terhad
Yang ini lagi satu... Huh! Aku cukup berbangga menggunakan DiGi Data Unlimited Rates. Walau diceruk mana berada, sentiasa mendapat liputan melainkan... dalam bilik aku di kampung halaman. Owhhh... Sedih sungguh.

3) malas
Kemalasan membataskan perbuatan. Begitulah yang aku boleh gambarkan. Bila dua perkara bergabung diatas, maka sifat malas aku pun muncul. Aku nak menyiapkan satu entry memakan masa berjam. Bila nak buat entry baru, masa itulah otak bekerja memerah idea, menyusun ayat, mencari gambar. Aku tidak berapa gemar membuat auto publish entry. Walaupun benda itu lebih mudah, tapi aku rasa aku macam menipu readers aku. Apa yang korang baca dari Corat Coret selalunya adalah entry segar dari ladang :-) Masa dan tarikh yang tertera adalah masa sebenar aku menaip dan publish. Ada juga yang aku guna auto publish seperti entry berantai; contohnya macam Academic Visit yang lepas.

Begitulah cerita sepanjang hari-hari terakhir Ramadhan dan diawal-awal kemunculan Syawal. Aku kurang bersiaran disebabkan perkara-perkara diatas.

Syawal kali ini, memberi sejuta rahmat buat aku dan keluarga. Macam-macam yang terjadi tapi aku tetap happy. Menjelang Syawal, seperti lazimnya, keluarga aku membuat majlis tahlil dan khatam Al-Quran. Tahun ini aku berjaya menamatkan 5 juz tanpa bantuan sesiapa dan seminggu lebih awal dari jangkaan majlis dijalankan. Alhamdulillah.

Raya kali ini, paling simple dalam sejarah dan diluar kebiasaan. Tanpa ketupat, tanpa lepat dan tanpa dodol. Kuih raya semua main beli. Tapi Raya tetap meriah. Aku melaram mengalahkan model. Saban hari bertukar baju baru. Raya pertama seperti kebiasaan; menziarahi kubur dan pulang ke kampung halaman, tidak dapat dilaksanakan seperti tahun-tahun yang lepas. Ayahku berada dalam kondisi yang tidak baik. Maka kami memutuskan untuk duduk dirumah dan menerima kunjungan tetamu sahaja.

Raya kedua dan ketiga; aku bersama pakcikku menggantikan Ayahku menyertai baraan yang saban tahun diadakan sempena kedatangan Syawal. Baraan ini memang cukup meriah. Cuma tahun ini sahaja aku penuh mengikutinya.

Raya kempat, aku masih berbaju baru. Ha ha ha. Walaupun duduk di rumah mesti maintan vouge da vast. Sesungguhnya raya kali ini memang aku tidak kemana-mana. Hanya menggantikan Ayahku menerima kunjungan tetamu yang berpangkat pakcik, makcik denganku. Menjadi "orang tua" kadangkala amat menyeronokan juga. Mendengar mereka bercerita dan bergosip, kalah Fara Fauzana dan Wahid Senario dalam rancangan Melodi... Pergh!

Masuk Raya kelima dan keenam, suasana mula berubah sunyi dan hening bila masing-masing mula pulang meneruskan rutin harian masing-masing. Dan rutin harianku berubah menjadi rutian harian seperti kebiasaan bila aku berada dikampung; melihat kebun, membersihkan kawasan rumah, melihat dan membersihkan kawasan dan pokok bunga, memberi ikan dan burung makan, menyiram pokok bunga... Dan satu hari aku hampir-hampir dikejarkan ke Hospital bila aku titimpa pelapah kelapa yang betul-betul jatuh menimpa belakang aku. Nasib baju Raya aku tebal. Kalau tidak, mungkin menerima beberapa jahitan.

Masuk Raya ketujuh aku sudah pulang ke Shah Alam. Ayahku perlu menjalani rutin pemeriksaan seperti biasa. Dari awal Raya Doktor panel keluarga aku sudah menghubungi ; mengingatkan Ayahku untuk menjalankan pemeriksaan rutin sebab beliau bakal bercuti selama seminggu. Aku pulang ke ibu kota 3 hari lebih awal dari jangkaan. Dan aku masih belum terfikir apa yang aku mahu lakukan esok hari sebab aku masih lagi di mode berhari raya :-)

p/s: Jangan ditanya mana gambar raya. Sesungguhnya kameraku telah dicuri orang... Sedih bukan kepalang.

Thursday, September 9, 2010

Ilalliqa' Ramadhan, Marhaban Ya Syawal

Salam semua... Salam 30 Ramadhan 1431 Hijriah. Alhamdulillah... Genap sudah sebulan kita berpuasa. Tibalah masa untuk kita meraikan kegembiraan serta kemenangan kita sepanjang 30 hari mengekang hawa nafsu. Berbahagialah bagi mereka yang memburu keberkatan dan kenikmatan sepanjang Ramdhan yang lepas.

Alhamdulillah, jerih payah aku cuba berjuang sepanjang 30 hari menahan hawa nafsu, berperang perasaan dan ada kalanya air mata menjadi peneman setia akhirnya aku kecapi kenikmatan di ambang kedatangan Syawal. Syukur Alhamdulillah...

Selepas ini, aku mesti merindui masa-masa berbuka, bersahur, bertarawikh dan sesungguhnya aku pasti merindui Syurgamu Ramadhan...

Kedatangan Syawal kali ini membuka lembaran baru dalam kehidupan aku. Mudah-mudahan di berkati oleh Allah S.W.T

Untuk semua followers, pembaca setia Corat Coret, dikesempatan ini, aku memohon sejuta kemaafan seandainya segala coretan aku disini mengguris rasa serta perasaan kalian ketika membacanya...

Salam Aidilfitri serta Maaf Zahir dan Batin...

Monday, August 30, 2010

Malam-Malam Terakhir

Salam Semua... Pejam celik, pejam celik, kita sudah sampai ke penghujung Ramadhan. Hari-Hari terakhir yang penuh barakah dan karamah. Yang didalamnya mengandungi malam Lailatul Qadar.

Maka... Yang tak pernah pegang Al-Quran, mula mengaji. Yang tak pernah solat, mula bertarawikh. Yang tak pernah pergi ke masjid, pergi ke masjid berjemaah semata-mata mencari keberkatan di malam Lailatul Qadar

Habis puasa, raya sakan, buat maksiat balik, berzina balik, buang anak balik. Lupa segala titis airmata yang ditabur untuk memohon keampunan dimalam keberkatan yang lepas.

Tidak tahu sejauh mana kesedaran manusia itu. Adakah tiba-tiba menjadi baik kerana disebabkan kedatangan Ramadhan? Adakah hari-hari lain selain dibulan Ramadhan kita tak payah langsung untuk berbuat kebaikan? Menambah amalan? Meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadat kita kepada Allah?

Kita lihat sendiri di kaca televisyen, Menteri-Menteri, Badan Bukan Kerajaan, Persatuan-Persatuan sibuk meraikan anak yatim, orang kurang upaya dan warga emas. Siap dengan replika cek dengan jumlah sumbangan tertera... Ikhlas ke kalau macam tu?

Suasana masjid dan surau pula cukup meriah di bulan Ramadhan. Sampai penuh sesak. Siap sampai bertarawikh di tempat parking sebab tak cukup tempat. Ada moreh, tazkirah, kuliah Ramadhan. Kiranya kalau lewat sikit pergi masjid atau surau mesti tak de tempat. Bila bulan Ramadhan berakhir, suasana macam ini pun berakhir. Betapa sedihnya.

Orang yang dibulan Ramadhan, tak pernah missed ke masjid atau ke surau mula menjauh... Solat pun kadang-kadang tak terjaga. Kenapa bila tibanya bulan Ramadhan baru kita nak berubah? Baru kita sibuk mencanang memburu malam Lailatul Qadar?

Bagi aku mudah sahaja. Beribadatlah dimana-mana dan pada bila-bila masa. Buatlah kebaikan dimana-mana dan pada bila-bila masa. Tak perlu hipokrit dengan diri sendiri dan Allah S.W.T. Sesunggunya Allah S.W.T sendiri Maha Mengetahui. Yang penting keikhlasan hati yang mengharapakan keredhaan Allah S.W.T di dunia serta di akhirat serta berusaha dalam mengerjakan perintahNya dan menjauhi laranganNya. Malahan Kualiti ibadat dan kebaikan juga harus dipertingkatkan bukan semata-mata kuanti dan bukan juga hanya dibuat dibulan Ramadhan sahaja. Tetapi juga di lain-lain bulan.

Semoga kita mengambil iktibar... Aku bercerita sebagai peringatan untuk diri aku juga. Andai ada terkasar bahasa, mohon kemaafan...

Tuesday, August 24, 2010

Nostalgia Ramadhan 2


Salam semua... Mula-mula aku ingin memohon maaf kepada kamu semua kerana jarang sekali dapat menziarahi blog kalian. Aku agak kesuntukan masa sedikit. Terima kasih kepada mereka yang sudi meninggalkan komen di setiap entry. Aku juga tidak sempat membalas komen kalian. Segala maklum balas kalian, sangat-sangat aku hargai.

Kali ini aku masih lagi bersiaran pasal nostalgia di bulan Ramadhan. Sebenarnya aku tak pasti ini kenangan manis atau pahit buat diri aku. Manis kerana kecetekan akal aku yang mana bila aku mengenang kembali membuat aku tergelak sendiri. Pahit kerana menjadi musibah yang tidak disangka buat diri aku.

Ceritanya bermula disuatu hari yang petang yang panas. Masa tu aku masih lagi menuntut di UiTM di peringkat Ijazah. Kebetulan pula cuti semester sudah bermula. Jadi aku menyambut Ramadhan di kampung. Maka adikku yang ketika itu belajar di Johor juga pulang.

Ramadhan ketika itu jatuh pada musim panas. Bahangnya cukup membuatkan tekak aku cepat kering serta tubuh badan mengalami hidrasi yang agak tinggi. Secara tak langsung badan aku terasa cepat letih dan lesu serta tidak bermaya. Aku juga kerap mandi untuk menghilangkan rasa bahang kepanasan.

Ketika itu, tak silap aku tinggal beberapa jam lagi untuk berbuka. Aku memang sudah mencapai tahap bahang kepanasan yang maksima. Tiba-tiba aku dapat idea baik punya. Ayah dengan Emak aku sedang berbual di ruang depan rumah. Manakala Adik aku tidak dapat dikesan.

Aku terfikir nak mandi air ais untuk melegakan kepanasan aku. Jadi keadaan ketika itu memang bersesuaianlah kerana tiada siapa yang akan mencegah aku. Mula-mula aku ambil ais kiub dari peti ais. Peti ais rumah aku berbeza sedikit dari yang biasa. Ia dilengkapi dengan kemudahan pembuatan ais kiub secara automatik. Jadi bila tekan jer Ice, maka keluarlah berketul-ketul ais kiub. Tak silap aku ketika itu, aku menggunaka dua jug air minuman untuk menadah ais. Selain itu aku gunakan juga dua botol air minuman sejuk yang diambil dari peti ais sebanyak 1.5 liter setiap satu.

Masa tu aku dah happy giler. Impian bakal tercapai. Dengan bahan-bahan tu, aku masukkan dalam tub mandi. Lepas tu aku tambah air paip terus aku masuk berendam. Masyallah! Heaven sungguh... Nyaman sekali. Aku rasa nikmat yang tidak terkira. Dekat setengah jam juga rasanya aku dalam bilik air tu.

Masa aku keluar dari bilik air, masih tiada orang lagi di dalam rumah. Kedua orang tuaku masih lagi bersembang diluar. Selepas berpakaian, aku menyertai mereka. Ketika itu baru aku perasan, aku mula berasa tidak sedap badan. Rasa macam nak demam.

Lepas berbuka puasa, keadaan aku makin teruk. Aku selesema dengan badan terketar menggigil. Sah aku demam! Selepas solat Maghrib, aku sudah tidak mampu lagi untuk berdiri. Kaki aku juga terasa kaku. Badan aku rasa sejuk giler. Tergigil-gigil. Aku tak mampu nak solat terawikh. Makanya Ayah dengan Adik aku yang pergi. Emakku menemani aku yang ketika itu dah macam orang demam malaria.

Kedua orang tuaku termasuk adikku berasa pelik. Bagaimana aku yang sihat walafiat disiang hari boleh demam waktu berbuka. Maka hendak tak hendak, aku membocorkan rahsia yang aku mandi air ais bagi melegakan badan. Ayah aku diam tapi Emak aku tak habis-habis meleteriku. Adikku hanya tergelak. Mereka tidak menyangka aku akan mengambil tindakan sedemikian...

Setiap kali Ramdhan dan bila aku kepanasan nak mandi, aku pasti akan tersengih terkenang kembali kisah ini. Sekarang ini, kalau aku kepanasan, aku lebih suka membasahkan badan dengan air panas sebab bila keluar dari bilik air dan menghirup udara luar, terasa badan begitu nyaman, selesa dan segar.

Saturday, August 21, 2010

Lucahnya Korang.

Salam semua. Salam Ramadhan yang ke 11. Semoga kalian semua dibawah lindungan Allah yang Maha Esa. Syoknya bila fikiran kita lapang dan mood kita baik. Ada sahaja idea yang tercetus untuk dijadikan bahan berblog. He he he

Baru-baru ini aku berkesempatan menjengah nuff nang aku. Lihat berapa banyak nuff nang sudah bagi kat aku. Walaupun tak banyak, Alhamdulillah, rezeki. Pendapatan aku taklah sehebat blogger tegar yang lain. Kalau aku rajin blogging, seminggu aku boleh dapat RM5. Oklah tu kan. Mana ada orang nak senang-senang bagi RM5. Nuff nang pun kena diklik-klik gak. Korang nak bagi aku RM5 seminggu ke?

Dalam masa membelek nuff nang, aku tertengok gak sekali kata kunci yang membawa visitor ke blog aku. Makkk Aikkssss... Tergezuuuutnya aku. Lucahnya korang... Kopek yang korang cari dalam blog aku yer! Selak dan beleklah sampai ke mula-mula aku bersiaran. Memang takkan jumpa gambar kopek walau sebiji. Korang tahu ke kopek tu apa? Buah dada wanita occay!

korang memang suka yang besar2 yer!

Aku teringat. Dulu aku pernah bersiaran. Bercerita pasal kopek. he he he. Cerita pasal pelajar negro yang kopek dia, Masyallah... Ok. Berhenti cerita pasal tu. Kurang pahala puasa aku karang. Kalau korang berminat nak tahu, Klik sini.

Tak sangka pula, entry tu mendapat rating tertinggi. So bagi blogger newbie macam aku kat luar sana, cubalah buat entry lucah sikit. Mesti naik mencanak nuff nang korang. He he he

Friday, August 20, 2010

Peristiwa Di Bazaar Ramadhan

Salam semua. Semoga sihat sentiasa. Kelmarin, pertama kalinya aku berkunjung ke Bazaar Ramadhan Kerinchi. Mencari juadah untuk berbuka puasa. Keinginan dihati ingin mencari yang berbeza serta lain dari yang lain. Tapi semuanya sama sahaja. Malahan makanannya hampir serupa seperti yang dijual di pasar malam Kerinchi.

Jadi aku tak tahu mahu makan apa. Aku rasa semuanya pernah ku cuba. Kuih akok, nasi dagang, nasi kerabu, laksam. Malahan masakan Jawa juga sudah ku rasa; ayam penyet, pecal leleh. Bakso Indonesia juga telah ku telan. Mungkin tekak aku masih mahukan durian sebagai santapan. he he he.

Makanya dari satu gerai ke satu gerai aku mencari juadah yang sesuai dengan tekak dan selera aku. Tapi semuanya tidak berkenan di hati. Akhirnya, aku memilih beberapa jenis kuih sahaja. RM2=5 ketul kuih. Huh! Mahal giler... Kat Sungai Besar RM1 boleh dapat 4 ketul kuih.

Sampai ke gerai murtabak, aku pun berhenti. Dengan niat mahu membeli murtabak ayam. Harganya... Masyallah! RM2.50. Nipis pula tu. Tergezuuttt aku dengan harganya. RM2.50 bagi aku agak mahal juga. Kalau kat Sungai Besar, baru RM2. Tu pun dah mahal gak. Tapi Tebal.

Jadi aku putuskan mahu membayar sebahagian harga murtabak tu dengan duit syiling. Aku gunakan RM1.50 dengan duit syiling dan ku tambah RM1 menggunakan duit kertas.

Aku tak perasan rupanya Abang Murtabak tu asyik memandang aku yang sibuk mengira duit syiling satu persatu. Sekejap aku seluk poket, kemudian mengira lagi... Sehinggalah Abang Murtabak tu menegur aku; "Tak apalah dik. Kalau tak cukup duit, Abang jual RM2 je. Berapa adik ada, bagilah..."

Ya Allah! Adakah aku serupa macam peminta sedekah? Hu hu hu. Antara bengang dan geli hati, aku bersuara; "Saya ada duit bang. Tapi duit syiling saya banyak sangat. Berat. Tu yang saya gunakan syiling. Abang Murtabak tu tergelak...

Usai membayar, aku terus gerak balik ke rumah. Dalam perjalanan, aku tersenyum dan tergelak sorang-sorang. Mesti orang ingat aku kurang waras. Macam mana Abang Murtabak tu boleh berfikir yang aku ni tak berduit. Hu hu hu. Kalau aku tak berduit, tak kanlah aku bercita-cita nak makan sedap-sedap. Tak semestinya orang pakai duit syiling untuk membayar tu tak kaya. Kalau aku bagi not RM100 hnya nak bayar murtabak RM2.50, logik ke? Tak pun aku beli kuih RM1 kemudian gosok pakai kad kredit. Ok tak? :-D Alahai... Macam-macam

Thursday, August 19, 2010

Ramadhan Kali Ini

Salam Semua... Semoga anda semua sihat hendaknya dibawah lindungan Yang Maha Esa... Bersiaran kita kembali... :-)

Semenjak dua menjak ni, aku sudah rajin semula mengupdate blog. Sebenarnya banyak cerita menarik yang boleh dikongsikan bersama serta diambil iktibar pengajarannya dibulan yang mulia ini. Mungkin ketika itu mood aku pun kurang stabil maka terasa malas mahu menceritakan segala peristiwa yang berlaku disekitar aku.

Ramadhan kali ini aku terasa benar bezanya. Seminggu aku bermaustautin kembali bersama kedua orang tuaku, kemudian kembali semula ke Kuala Lumpur, serba sedikit aku menjadi rajin semula. Contohnya kalau aku di Vista; sepertti kebiasaan aku selepas makan, bekas makanan aku akan tinggal macam tu sahaja, nanti nak makan baru aku basuh kembali. Bilik bersepah...

Kali ini lain benar. Bukan aku mahu memuji diri. Walaupun terasa malas, aku masih lagi mencuci pinggan, cawan, sudu dan garfu yang digunakan selepas makan untuk berbuka dan bersahur. Malahan aku sempat lagi mencuci muka dan membersihkan diri. Aku juga mampu menunggu solat Subuh dahulu sebelum aku melelapkan mata kembali. Kalau aku yang dulu; pergh... :-) Selepas sahur, paling best kalau dapat tidur semula. Jenuh kena leter dengan Emak aku kalau balik kampung dulu.

Bilik pula, kalau boleh setiap masa sekarang ni mahu kemas dan cantik. Terasa tenang dan damai. Segala jenis sampah sarap, aku kemas dan buang. Baju yang kotor, tak perlu tunggu seminggu aku dah cuci kesemuanya. Kiranya Ramadhan kali ini aku terlebih rajin dari kebiasaan. Cuma kali ini aku kerap berjaga malam berbanding siang... Anda pula bagaimana?

Dua ShoutMix Chat Box

Salam Semua. Salam Subuh Ramadhan yang kesembilan... Pejam celik, pejam celik rupanya sudah sembilan hari umat Islam seluruh dunia berpuasa. Cepat sungguh masa berlalu.

Kalau anda semua pembaca setia Corat Coret mesti kalian semua perasan. Aku tambah satu lagi shout box untuk ruangan berchit chat. Ruangan yang aku bagi nama Advertise Everything Here yang terletak disebelah atas disudut kanan blog aku dan aku gunakan khas untuk mereka yang mengunjungi blog aku untuk mempromosikan sebarang jenis pengiklanan. Manakala ruangan Chat For Me untuk berinterkasi dengan aku. Mak Aikksss. Dah macam artis pula.

Bukan apa. Kat shout box Chat For Me tu kadang kala ada sesetengah pengunjung menampilkan iklan berbentuk spam dan aku rasa menyemakkan lagi ruangan itu. Maka aku buka satu lagi shout box untuk korang melalak apa sahaja di situ.


Walapun blog aku ni tidak sepopular mana, mudah-mudahan dapat membantu kalian dalam mempromosikan apa sahaja pengiklanan yang bersesuaian. Dan aku meminta kerjasama kalian semua; janganlah ditempekkan lagi segala jenis iklan dalam shout box Chat With Me. Sebab aku sudah sediakan tempat untuk kalian berpromosi.

Wednesday, August 18, 2010

Lagi-Lagi Durian... Di Bulan Ramadhan


Salam semua... Bila sebut pasal durian, semua orang akan terbayang buah berduri yang baunya cukup menusuk hidung. Ada sesetengah menggemarinya dan ada pula yang tak berapa suka. Cium baunya sahaja sudah cukup memeningkan kepala.

Aku memang hantu durian. Bukan tahap hantu, mungkin dah jadi setan kot. He he he. Jangan ditanya aku berapa ulas aku makan. Tapi tanya berapa pokok aku mampu makan. Mood makan durian aku bermusim. Bila tiba masa aku nak makan durian, sekali hadap, aku boleh habis 2 ke 3 biji sekali makan. Itu sekali hadap. Sehari aku boleh menghadap durian lebih empat kali. Jadi kiralah berapa biji aku mampu makan. Itu bila tiba masa aku meroyan nak makan durian... Bila bukan masanya, kek perasa durian pun aku tak lalu nak menjamah.

Semalam, aku berkesempatan menemani Ayahku yang mempunyai urusan di Kuala Kubu Bharu. Bisness keluarga. Secara tak langsung aku pun terlibat sama. Kalau tak terlibat, tak dapatlah bahagian aku :-). Dalam perjalanan menuju kesana, melalui Lembah Beringin, Kerling dan Kuala Kubu Bharu boleh dikatakan dikiri kanan ada orang menjual durian. Aku teruja. Sebelum itu, beberapa hari dan beberapa minggu Ayah aku ada mengoffer untuk membelikan durian, tapi aku menolak. Sebab tekak aku belum mampu untuk menerimanya lagi dan kali ini tekak aku sudah bersedia!

Durian di kawasan ini berbeza dengan kawasan lain. Kebanyakan durian disekitar sini, durian bukit atau durian gunung dan ada sebahagiannya durian hutan asli yang dijual oleh masyarakat orang asli disekitar. Rasanya... Masyaallah! Sungguh enak sekali. Lebih enak dari GCB McD, Chocolate Indulgence Secret Recipes, Ayam perasa original dan spicy KFC, Char kuew Tiow, Laksam, apam balik, satay dan kuih akok.

Jadi aku memang teruja memborong durian semalam. Sepanjang jalan aku mencium bau yang menggiurkan... Sampai kerumah, aku dah tak sabar-sabar lagi mahu meratah durian. Aku dah tak fikir juadah lain. Dalam kepala otak aku hanya durian sahaja. Azan Maghrib berkumandang, durian dulu yang ku capai. Ayahku menggelengkan kepala, Emakku pula menegur... Tapi aku peduli apa. Hajat aku mesti dipenuhi. Saat durian tu mencecah gigi dan ku kunyah serta ku telan... Masyaallah... Lazatnya, Nikmatnya, Sedapnya. Perggghhhhh!!! (korang meliur ke? Ha ha ha)

Alhamdulillah, aku tidak punya apa-apa masalah dengan durian. Makanlah banyak mana, Insyaallah tidak akan berlaku perubahan Biologi dalam diri aku. Ada sesetengah orang. Makan seulas, terus nak pitam. Makan sedikit, darah tinggi naik. Tapi aku, Boleh tambah lagi beberapa biji. Aku juga serba sedikit tahu menahu pasal skill memilih durian. Mungkin ini warisan daripada Pak Lang aku yang mempunyai dusun sendiri. Maka secara tak langsung aku sendiri terbiasa bila setiap kali beliau menilik durian untuk diagihkan

Tuesday, August 17, 2010

Nostalgia Ramadhan

Salam semua... Sedar tak sedar sudah masuk hari ketujuh kita berpuasa. Dan tinggal 23 hari lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita yang pemergiannya ditangisi seluruh alam termasuk tujuh petala langit serta tujuh petala bumi.

Ramadhan kali ini cukup berbeza. Berbeza buat diri aku yang serba kekurangan. Kadang-kadang jiwa aku meronta kerana kekurangan ini. Tapi Alhadulillah... Rezeki aku masih murah disisi Allah. Walaupun sukar dan perit untuk aku hadapi tapi tidak perit sampai beronak dan berduri.

Kedatangan Ramadhan kali ini mengimbas kembali nostalgia aku kecil-kecil dahulu. Yang jelas terbayang dimata, ialah ketika arwah nenek aku masih hidup. Beliau ku panggil Embah gelaran yang diberikan kepada nenek perempuan dalam Bahasa Jawa. Ayahku berketurunan Banjar manakala Ibuku berketurunan Jawa. Embah yang aku maksudkan ialah Ibu kepada Ibuku. Setiap kali menjelang Ramadhan beliau akan bermaustautin dirumahku. Kata beliau senang untuk bertarawikh kerana ketika itu Ayahku yang menjadi Imam.

Aku akui... Dikalangan cucu-cucu beliau, aku ni yang paling nakal sekali. Tapi dengan beliau, aku jadi sedikit patuh berbanding patuh kepada Ibuku sendiri. Walaupun kadang-kadang aku melawan, tapi tidak sampai hati.

Kebiasaan selepas tarawikh, aku menghadap peti televisyen. Menonton rancangan-rancangan berbentuk keagamaan. Yang menjadi kegemaran aku ketika itu, Solat Sunat Tarawikh di Masjidil Haram. Embahku ialah peneman setia aku ketika itu. Ayahku, Adikku dan juga Ibuku telah lama hanyut dibuai mimpi indah. Dan kebiasan kami (aku dan embahku) akan mentong (ulang makan dalam istilah jawa). Kuih, Laksa dan kadang-kadang maggi pun boleh jadi santapan kami.

Embahku rajin melayan kerenah aku ketika itu. Kadang-kadang beliau sudah tertidur tapi bangun semata-mata nak menemani aku mentong dan seusai mentong, beliau akan menemani aku menonton televisyen pula.

Walaupun Embahku menghabiskan hampir sebulan Ramadhan dirumahku, beliau jarang merayakan kedatangan Aidilfitri bersama-samaku sekeluarga. Beliau lebih suka meraikannya dikampung kelahiran anak-anaknya di Perak. Manakala Ibuku saban tahun beraya bersama ayah dikediaman kami sekarang kerana kediaman kami sekarang sudah seperti kampung halaman buat adik beradik Ayahku. Dan seperti kebiasaan, 2 ke 3 hari terakhir Ramadhan, Embahku akan meminta untuk dihantar pulang ke kampung halamannya. Jarak diantara rumah aku ke sana cuma mengambil masa 45minit ke 1 jam.

Ramadhan tahun 1999... Seperti kebiasaan, kami menyambutnya bersama-sama keluarga dengan diserikan oleh kehadiran Embahku. Ketika itu aku ditingkatan 5 dan sedang menduduki peperiksaan SPM. Ramadhan diraikan dan disambut penuh kesyukuran sehinggalah menjelangnya Syawal. Pertama kali dalam sejarah, aku bersekongkol dengan adikku memujuk Embahku untuk meraikan Syawal bersama kami. Embahku bersetuju, tapi disertakan syarat; Embahku minta dihantar pulang ke kampung halamannya menjelang 1 Syawal... Kami bersetuju. Malam Raya, bersama-sama ayahku, adikku, ibuku dan juga nenekku (ibu kepada ayahku) kami bertolak ke Kampung Sg. Bugis Perak dalam misi menghantar Embahku.

Beberapa bulan selepas Syawal, Embahku sakit kuat, dan tanggal hari Jumaat tahun 2000 (aku terlupa tarikh dan hari serta bulannya), ketika aku pulang dari sekolah, aku dikejutkan dengan berita Embahku pergi untuk selama-lamanya. Aku terkesima...

Diambang Syawal lepas yang kuraikan bersama Embahku adalah Syawal pertama dan terakhir untuk kami sekeluarga. Mungkin ketika itu Embahku seperti mengerti bahawa tiada lagi Syawal buat beliau.

Setiap kali kedatangan Ramadhan, aku seakan-akan terkenangkan beliau. Hadir menghidupkan kembali malam-malam Ramadhan aku... Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, para Syuhada', Anbiya' serta Solihin... Amin. Al-Fatihah...

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan... Marhaban

Salam Semua... Salam 1 Ramadhan 1431Hijrah bersamaan 11 Ogos 2010Masihi. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini membawa sejuta rahmat dan sejuta keberkatan buat kita semua. Andai ini adalah Ramadhan terakhir buat kami semua, maka sempurnakanlah ibadah kami Ya Allah dan jadikanlah ia sebagai Ramadhan terakhir yang penuh pengisian rohani dan jasmani yang mendapat keberkatan dilangit mahupun dibumi... Amin.

Alhamdulillah... Aku bersyukur kerana aku masih lagi diberikan peluang untuk mengecapi keindahan dan kenikmatan bulan yang dijanjikan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang sabar dan bertakwa...

Ramadhan kali ini berbeza sekali. Entah kenapa aku terasa sayu dan sedih. Seolah-olah ini adalah Ramadhan terakhir buat aku. Banyak perkara yang berlaku dan terjadi berlegar disekeliling aku. Memerlukan suatu kekuatan untuk aku sabar dan tabah menghadapinya. Buat pertama kali seusai aku menamatkan Solat Tarawikh yang pertama, air mataku tertumpah jua diatas sejadah... mengimbas kembali segala rentetan onak duri yang aku tempuhi yang akhirnya menemukan aku dengan Ramadhan kali ini.

Walaupun Ramadhan kali ini tidak sesempurna mana dari segi jasmani buat diri aku, aku berharap mudah-mudahan Rohani aku akan terisi lebih dari Ramadhan yang terdahulu. Amin

Selamat Menjalani Ibadah Puasa semua... Dengan hati yang lebih bersih, suci dan tawaduk...

Saturday, August 7, 2010

Al-Kisah... Perfume


Salam semua... Semoga sihat sentiasa dibawah lindungan yang Maha Esa. Beberapa hari lagi kita akan menginjaki ke ambang Ramadhan... Dah habis ke puasa ganti korang? He he he. Hari ini aku terasa amat bosan sekali. Maka aku plan nak keluar berjimba-jimba dengan adikku tersayang di Shah Alam. Sekadar mencari barangan rumah yang telah kehabisan.

Cari punya cari, maka tercarilah aku perfume. Memang niat dihati mahu membeli sebab perfume aku memang dah habis. Kat otak dah disetkan, aku nak beli CK Eternity Aqua. Aku pernah test baunya dan menepati citarasa aku; floral, natural dan amazing. Aku tak suka bau yang terlalu manly dan masculine. Jadi perfume pilihan aku agak limited. Kebiasaannya Armani, CK dan Issey Miyake yang jadi pilihan aku. Tapi kali ini sesuatu berubah...

Adik aku menyuruh aku mencuba Davidoff Hot Water. Davidoff, Dunhill dan Polo bukanlah jenama yang menjadi pilihan aku. Memang aku takkan mencuba untuk mencium baunya sebab memang bukan taste aku. Tapi tetiba petang tadi sesuatu berlaku. Dan aku mencium bau Davidoff Hot water buat pertama kali. Baunya.... Ya Allah, terus menangkap ke kepala otak aku. Perit.

Bau dia cukup berbeza dari mana2 perfume yang pernah aku miliki... Lebih 'jantan' dari selalu. Adik aku memberi tanggapan yang berbeza berhubung dengan perfume ini. Segala aspek yang diberitahu adalah dari sudut sifat kewatinaan beliau. Selama ini aku membeli hanya berdasarkan perspektif dan keinginan aku. Dan apa yang aku selesa pakai.

Akhirnya aku pulang dengan sebotol Davidoff Hot Water. Secara jujur aku tidak berapa menyukai baunya walaupun sedap dihidu. Akan tetapi selepas aku mencuba menyemburnya ketangan dan dibiarkan selama beberapa jam bau yang terhasil cukup mengghairahkan... ha ha ha. sekarang baru aku faham, apa yang adik aku cuba sampaikan.

Davidoff Hot Water, berbeza dengan perfume yang lain. Semburan diatas kertas dan dikulit menghasilkan bau yang berbeza. Bau yang terhasil dari semburan keatas kulit menghasilkan aroma sensual, dramatik dan passion. Selama ini perfume yang aku beli menghasilkan bau yang lebih kurang serupa sama ada diatas kerta mahupun dikulit.

Belum pernah aku bertahan dengan satu perfume. Paling lama yang pernah aku pakai, City Glam by Armani. Secara tak langusung, aku mula menyukai Davidoff Hot Water. Baunya tahan lama, semakin lama semakin bertukar baunya menjadi lebih manis dan mengghairahkan... (ha ha ha. poyo...)

Friday, August 6, 2010

Novel

Salam semua... Salam tengah hari Jumaat yang mulia. Hari Jumaat yang terakhir di bulan Sya'ban. Lamanya aku tak bersiaran. Bukan sibuk dan juga bukan terlalu sangat melayan perasaan. Tapi aku terlalu malas nak membuka blog. Salah satu sebab; line broadband yang macam biskut choc fudge. Kejap ada, kejap tak de. Mula-mula aku ingat whitey cari pasal. Ataupun DiGi line aku bermasalah. Tapi rupa-rupanya Nokia PC Suite aku tu yang selama ini jadi host untuk dial up internet, kena update supaya compatible dengan DiGi Broadband aku yang kadang kala mencapai kelajuan tahap 3.5Gs.

Rupanya aku dah jauh menyimpang dari topik yang nak aku ceritakan. He he he. Normallah kan. Berbalik pada tajuk entry diatas, siapa yang minat membaca? Aku rasa rata-rata bloggers memang suka membaca. Dengan membaca itu lah, kadang-kadang kita dapat idea macam mana nak menulis kat blog. Betul tak?

Membaca macam sudah menjadi tabiat aku. Kadang-kadang masuk toilet pun aku bawa buku. Kedai buku menjadi tempat wajib dikunjungi bila aku keluar kemana-mana. Sekarang ini, Kalau kamu semua tengok, lambakan novel-novel berbahasa Kebangsaan macam sudah menjadi trend. Macam-macam genre novel ada; cinta, Islamic, komedi, thriller dan sebagainya yang kadangkala cukup memeningkan kepala untuk kita membuat pilihan. Untuk diri aku, budget setiap bulan hanya untuk 2 buah buku sahaja yang meliputi novel ataupun bahan bacaan am.

Novel pilihan aku biasanya datang daripada penulis-penulis kegemaran aku. Kalau mereka ni ada novel keluaran terbaru, wajib aku membelinya. Aku sudah terbiasa dengan gaya penulisan Norhayati Berahim, Ramlee Awang Murshid, Nizam Zakaria, Aisya Sofea yang sentiasa ada kejutan. Bukan aku tidak mahu keluar dari kepompong mereka. Pernah... Tapi teramat mendukacitakan...

Aku cukup anti kalau aku membelek novel dan tertera nama-nama watak yang terlalu pelik untuk disebut dan terlalu jangal didengar... Contohnya seperti Adrienna Arrisya Natsya Ryan... (Motiiippp!) Tolonglah... Walaupun ada manusia sebegini wujud, bukankah novel tu satu medium yang paling melekat di hati dan otak? Untuk kita jadikan iktibar dan merapatkan diri kita dengan penulisnya?...

Kalau aku sebut Laksamana Sunan, apa yang kamu semua fikirkan??? Ramlee Awang Murshid, betul tak? Keris Naggore, betul tak? Sebab itu kenapa nama-nama watak itu penting untuk disebut supaya mudah diingat dan dapat diselami jalan ceritanya. Contoh yang lain, katakanlah watak yang dicipta itu berdarah kacukan, tidak perlulah penulis mahu mencipta nama yang terlalu bombastik... Salah satu watak novel berdarah kacukan yang melekat kat otak aku sehingga sekarang; Carl Zafran (ibunya berbangsa sepanyol dan bapanya berdarah melayu) dari novel Cinta Pertama nukilan Norhayati Berahim yang kali terakhir aku membacanya kira-kira 3 tahun lepas. Simple, menarik dan kemas namanya. Tak berbelit lidah aku nak menyebut. Bila aku tersebut Carl Zafran, aku terus teringat Nurul Iman, Pak Tabib dan sebagainya... Bukankah ini sudah cukup untuk kita mengingati semula jalan ceritanya, dan mahu menyelami semula isi ceritanya? Secara tak langsung, kita sendiri terus teringat dengan penulisnya...

Beberapa penulis yang aku sebutkan namanya seperti diatas merupakan penulis belainan genre penulisan... Ramlee Awang Murshid cukup sinonim dengan genre thriller, Norhayati Berahim genre cinta yang penuh pengisian jiwa, Nizam Zakaria... erkkk aku tak berapa pasti beliau penulis bergenre apa. Akan tetapi tulisan beliau skeptical dan melangkaui gaya penulisan penulis-penulis Malaysia yang lain... Contohnya; Awang Vampiro, Mata Kucing, Seri Tertangguh yang bagi aku karya beliau kadang-kadang terlalu sinis dan melangkui kebatasan akal manusia berfikir. Awang Vampiro sebagai contoh. Berlatar belakangkan kemusnahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Zaman Renaissance di Eropah, munculnya watak-watak seperti Awang yang menjadi punca berlakunya sesuatu peristiwa besar didunia.

Aku pernah terfikir, sampai bila kalau aku membaca novel aku harus dibayangi oleh penulis-penulis kegemaran aku seperti diatas? Aku suka membuat perbandingan antara karya penulis ini dengan penulis itu. Aku pernah membeli novel yang aku suka jalan ceritanya. Menarik. Akan tetapi aku berasa hampa bila nama-nama watak yang diberikan terlalu bombastik. Malahan olahan dan garapannya terlalu ringan. Situasi perbualan diantara watak-watak seperti dibuat-buat dan macam terasa kaku dan janggal pada hal perbualan itu sekadar perbualan yang biasa-biasa sahaja.

Ada lagi beberapa penulis yang aku cuba dekati karyanya seperti Anuar Kamaruddin, Hlovate, Rose Harissa yang bagi aku mereka punyai kelainan dalam berkarya cuma aku kurang berkenan dengan nama-nama watak yang diberikan. Walupun bukan bombastik tetapi terasa macam plastik sedikit. Mohon maaf yer :-)

Apa yang aku coretkan disini, adalah sekadar pendapat peribadi aku sahaja. Bila aku membeli novel atau buku, biarlah terasa seperti aku berbaloi untuk memilikinya walau dengan harga RM19.90. RM19.90 apalah sangat nilainya... Tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan, nilai sebegitu terlalu tinggi harganya...

p/s: novel seharusnya mempunyai perasaan dan bukannya perasan :-)

Thursday, July 29, 2010

Madu Oh Madu

Salam semua... Salam pagi Khamis yang ceria indah dan permai... Semoga hari Khamis yang menghampiri ambang Ramadhan memberi sejuta rahmat buat aku dan kamu semua.

Semalam, seperti kebiasan hari Rabu malam Khamis, sesudah aku bernekad mahu menceburkan diri dalam bidang MLM, aku mengikuti BP yang disediakan oleh syarikat. Kebiasaannya aku akan pergi bersama-sama sahabat aku Fairuz. Aku tidak pasti bagaimana aku boleh tertarik untuk menceburkan diri kerana sememangnya aku amat membenci MLM.

Mungkin kerana keberkesanan produk yang telah diperakui serta disertakan pengakuan beberapa orang testimonial begitu mengujakan. Bukanlah aku terlalu taksub dengan wang ringgit yang ada kat dalam beg tetapi aku taksub bagaimana orang yang seberat 80kg boleh mengurangkan berat badan sebanyak 13kg dalam masa sebulan dengan hanya minum SD2 tanpa menyekat selera makan mereka... cukup mengujakan sebab aku sendiri menyaksikan didepan mata, lantas aku teringin untuk mencubanya serta merasai sendiri keberkesanannya. Sesungguhnya aku memang menghadapi masalah berat badan. Walaupun orang ramai kata berat badan aku dah ideal, tapi bukanlah berat badan yang aku impikan.

Aku teringat bagaimana aku berjuang untuk menurunkan berat badan. Dengan diet dan Exercise tanpa henti dan aku hanya berjaya mengurangkan 2kg dalam jangka masa 2 bulan. Kalau kamu semua ditempat aku, tidakkah kamu mahu tahu rahsianya dan mahu mencubanya sendiri?

Ok. Kita berhenti bercerita pasal produk SD2. Kalau betul-betul berhasil seperti yang diwar-warkan, aku akan promote besar-besaran produk ni. Di sini :-) Sekarang ini aku dalam peringkat mengeksperimentasikan diri aku dengan produk ini. Sekarang berat aku 67kg dan aku mahu menjadi 63kg beserta saiz pinggang 34inci menjadi 31inci.

Berbalik pada tajuk diatas, selepas BP, aku beserta beberapa kenalan kami, supper di sebuah restoran mamak. Hu hu hu. Kalau kamu tengok mereka ni semua makan, macam tak hengat dunia tapi badan comel-comel belaka. Jeles sungguh aku... aku seperti kebiasan terpaksa makan makanan yang kurang kalori kerana takut kegemukan.

Tengah asyik bercerita dan berkongsi ilmu, aku terpandang lirikan mata seorang sahabat aku ni. Begitu asyik melihat perempuan-perempuan disebelah beliau. Yang lain pula seronok bercerita kisah gewe-gewe. Pada hal mereka semua sudah terikat secara sah dengan wanita bergelar isteri. Tidak cukup satukah mereka ini?

Aku mengutarakan pendapat aku; walaupun poligami itu halal disisi Allah tapi aku tidak berapa menyukainya. Berpoligami seperti suatu pengkhianatan seorang suami kepada isterinya... Menduakan kasih isteri untuk sehidup semati. Sedangkan isteri berhempas pulas untuk membahagiakan suami tetapi kenapa suami masih ingin menambah satu lagi? Tidak puaskah dengan seorang isteri? Siapalah aku untuk mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah. Aku hanya bercerita berdasarkan pengalaman aku. Bukan pengalaman aku berpoligami. Tetapi pengalaman insan-insan yang ku sayangi disekeliling aku.

Aku bertanya dengan seorang sahabat aku; andai kata beliau bermain mata dengan seorang perempuan dengan hanya sekadar niat mahu mengusik sehingga menyebabkan perempuan itu jatuh cinta dan sanggup dimadukan dan secara tidak langsung beliau pun berkemampuan, apakah beliau akan meneruskan untuk berkahwin? Terkedu sedikit beliau.

Maka ketika itu keluarlah fatwa Abg Hisham... Bercerita pasal lori terlebih muatan. Lori diciptakan memang untuk membawa muatan yang kadang-kadang mencecah 1 tan tetapi rodanya kecil. Semua lori sama jer. Akan tetapi eksovernya yg berlainan tulah yang digunakan untuk menampung berat muatan lori.

Aku tahu. fatwa Abg Hisham itu untuk menafikan pendapat aku. Dan aku mengakuinya... Cuba renungkan disini. Bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak, kadang-kadang mereka pun terkurang dan terlebih dalam melayan karenah anak-anak. Bukannya mudah untuk memuaskan dan memenuhi kehendak anak-anak. Inikan pula untuk membina masjid satu lagi... Bukan mampu ke tidak yang menjadi ukuran. Tetapi mampu ketidak untuk mentadbir masjid yang dibina satu lagi tu...

Aku bercerita disini sekadar untuk renungan kita bersama. Salah dan silap diatas penulisan aku ini, aku memohon sejuta kemaafan. Lain orang lain pendapatnya... Madu itu memang manis. mendapat payung emas disyurga memang indah. Tetapi berapa kerat yang rasa madu itu manis dan berapa kerat yang rasa payung emas itu indah. Tepuk dada, tanya diri sendiri...

Friday, July 23, 2010

Kemaruk

Salam semua... Salam petang Jumaat yang hening nan indah. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan oleh Allah segala urusan yang tidak berkenan dihati. Tak mahu lagi bercerita pasal benda-benda yang tak sepatutnya. Aku mampu menerimanya dengan berlapang dada, jauh dari sifat aku yang sebenar yang suka memberontak.

Kamu semua pernah taksub dengan sesuatu perkara? Contohnya macam taksub mengumpul keychain. Pantang je jumpa keychain pelik, mesti beli... Taksub dengan cerita atau drama di televisyen. Kalau terlepas satu episod macam tak senang duduk... Pernah ke kamu semua mengalaminya?

Aku dulu terlalu taksub dengan cerita Harry Potter. Sanggup berebut nak membeli Deathly Hallows masa mula-mula release kat pasaran Malaysia. Semua siri buku Harry Potter aku memilikinya. Begitu juga dengan koleksi filemnya.

Masa berlalu... Aku masih lagi meminati Harry Potter. Masih menanti filem terakhirnya menjengah panggung wayang Malaysia. Taksub menonton trailernya. Tapi tidak sekemaruk dulu. Sekarang perhatian aku teralih. Aku teruja dengan kisah percintaan manusia dengan pontianak diserikan lagi dengan kehadiran serigala jadian... Cukup teruja

Aku hampir selesai menghabiskan Eclipse... Aku mengambil masa yang terlalu lama membaca buku berbanding dengan manusia biasa... (ha ha ha. Berangan jadi pontianak ke?). Makan masa berhari-hari. Malah boleh jadi berminggu-minggu kerana aku terlalu sangat menyelami kedalam jalan ceritanya... (tak kiralah buku apa)

Dalam kebosanan aku menghabiskan shift sehingga pukul 8.00pm semalam, aku google pasal Breaking Dawn, siri terakhir Twilight. Manalah tahu kalau aku terserempak dengan trailer filem tu. Aku menemui maklumat yang lain, yang membuat nafsu aku teruja ketahap taksub. Lepas kerja, aku terus ke Mid Valley. Cari ATM Machine, keluarkan duit, masuk MPH terus rembat Breaking Dawn yang hanya tinggal beberapa naskah lagi. Tak menyempat, aku terus buka pembalutnya dan mencari maklumat-maklumat yang tertentu... Menakjubkan. Aku sendiri pun terkedu.

Kalau kamu semua baca entry aku yang sebelum ini, aku langsung tak ambil kisah pasal siri twilight ni. Bagi aku, siri ni serupa dengan kisah cinta remaja ala fairy tales dan bukanlah sesuatu yang aku sukai dan gemari... Tapi aku silap. Ceritanya lebih daripada itu. Sangat berbeza antara filem dan buku. Dalam buku, olahan, garapan dan penceritaannya mampu membuat aku menahan berak untuk beberapa minit lagi. he he he. Aku tak lah kata filemnya tak best. Kalau tak best masakan aku sanggup menontonnya sehingga dua kali. Cuma kurang menyengat berbanding buku.

Itu semua selera masing-masing. Tak semua menyukainya. Aku pun sebegitu. Tapi itu dulu :-)

Wednesday, July 21, 2010

Pada Mu Ku Bersujud


Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya nama-Mu Ya Allah

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-Mu yang slalu bertakwa

Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakan-Mu
Saat Kau limpahkan karunia-Mu
Dalam sunyi aku bersujud

pada-MU

*Pada wajah, terpercik ketenangan, gelora dihati, tiada siapa yang tahu...

Tuesday, July 20, 2010

Berita

Salam semua... Salam petang Selasa yang remang-remang senja diringi hujan gerimis. Aku masih lagi di opis menghabiskan sisa-sisa shift aku sehingga ke pukul 8pm...

Tengah hari tadi aku menerima khabar berita yang sudah aku sedia maklum melalui firasat aku, yang tidak seberapa. Tak mengapalah. Rezeki masing-masing. Mungkin rezeki aku takat ini sahaja tetapi aku bersyukur sekurang-kurangya aku masih lagi diberi nafas untuk menjadi khalifah dimuka bumiNya.

Kalau mereka ingat aku akan meroyan, terpekik terlolong, terjerit-jerit memaki hamun dan berdrama merayu berserta air mata bagai, sememangnya mereka salah orang. Bagi aku ini lumrah kehidupan. Aku sudah mencuba yang terbaik dan takat ini sahajalah yang mampu aku lakukan. Terpulang pada mereka untuk menilai dan menerimanya. Jikalau penerimaan mereka sebegini, aku terima. Kalau mereka sengaja membuat aku sebegini, Allah maha berkuasa... Membuat orang lain teraniya, kau akan dapat balasannya. Sekarang ini, Allah bayar debit... Cash... No kredit anymore.

Aku pun tak berapa betah lagi disini, beban yang selama ini berada dipundakku, terasa terlepas dan berasa ringan sedikit. Cuma mungkin terlalu awal dari jangkaan aku. Sekurang-kurangnya aku tak terikat lagi. Lepas bebas...

Tapi seperti kebiasan perangai aku, kalau orang palitkan tahi kat aku, aku akan balas balik. Tunggu dan lihat apa yang mampu aku lakukan ;-)

Monday, July 19, 2010

Marathon Lagi

Salam semua... Salam petang Isnin yang hening. Minggu ni aku kerja shift petang. Jadi ada dua jam masa untuk berjimba-jimba sebelum aku menutup library. He he he. Semenjak dua menjak ni internet aku bermasalah sedikit. Susah nak update, reply comments dan terjah blog. Sama ada DiGi line bermasalah ataupun whitey bermasalah. Kat opis pula, segan nak buka blog sebab bos sentiasa ada. Boleh buka kalau nak, tapi lebih baik tak payah buka. Jadi attitude aku nampak macam cantik dan bersih sikit. Kali ini boleh update sebab bos aku dah balik. he he he.


Jumaat dan Sabtu lepas, aku berkesempatan bermarathon lagi menonton wayang. Kali ni pecah rekod. Dalam tempoh 24jam aku tengok 4 filem. Bermula malam sabtu, aku memilih cerita Despicable Me. Cerita ni mengisahkan Gru seorang pencuri professional yang mencuri benda-benda yang menjadi perhatian seluruh dunia. Benda terakhir yang dicurinya ialah Skrin Jumbo TV New York Time Square. Gru seorang yang langsung tidak mempunyai perasaan, tidak berperikemanusian dan bangga dengan perkara-perkara yang dilakukannya.

Suatu hari tersebar cerita piramid di Mesir telah dicuri yang meletakkan diri Gru bukan lagi antara pencuri yang terhebat. Maka di merancang satu plan untuk mencuri bulan dengan cara mengecilkan bulan menggunakan pistol pengecil. Disini bermulalah agenda Gru dalam misinya mencuri bulan. Mula-mula Gru memohon bantuan kewangan dari Bank of Devil untuk membina roket, tetapi ditolak atas sebab hasil pencurian Gru yang tidak mendatangkan keuntungan kepada bank. Disinilah Gru berkenalan dengan Vektor seorang yang naif tapi telah mencabar kewibawaan Gru kerana Vektorlah yang bertanggungjawab atas kehilangan piramid di Mesir. Atas sebab itu, maka Gru berusaha untuk membuktikan bahawa dia masih lagi seorang pencuri terhebat abad ini. Bermacam cara digunakan termasuklah mengambil 3 orang anak angkat yang bernama Margo, Agnes dan Edith. Watak Agnes paling comel sekali.

Disebalik kisah Gru, terselit kisah menyayat hati tiga orang budak terbabit. Dimana mereka dibesarkan disebuah rumah anak yatim. Saban hari mereka keluar menjual biskut dan antara pelanggan mereka adalah Vektor. Setiap malam mereka berdoa semoga suatu hari ada insan yang baik hati yang sudi mengambil mereka sebagai anak angkat...

Opss... kalau aku citer sampai habis, tak best la kan. Apa kata kamu semua luangkan masa bersama-sama keluarga menonton cerita ni. Tak rugi. Bagi aku inilah cerita kartun terbaik yang aku tonton selepas Kung Fu Panda. Penuh emosi, lawak jenaka, kekecewaan, kegembiraan dan juga perasaan marah dan geram. Semua elemen di campur dan diolah serta diadun menjadi satu serita yang penuh rencah dan warna warni. Walaupun jalan ceritanya yang simple tapi pengolahannya membuat penonton teruja untuk mengetahui setiap kesudahannya.

Ada juga beberapa kelemahan dalam cerita ni. Watak tiga budak tu kurang diperkembangkan dengan baik. Seperti asal usul mereka dan pertalian antara ketiga-tiga mereka. Apa pun aku bagi 5 bintang untuk cerita ini. Kenapa? sebab cerita ini mampu membuat aku ketawa dan berasa sedih serentak...

Filem seterusnya; Eclipse. Ha ha ha. macam tak percaya aku menontonya untuk kedua kali dengan rela hati. Jarang sekali aku menonton filem dua kali di panggung. Setakat ni Harry Potter and The Goblet of Fire dan Pontianak Harum Sundal Malam II yang aku menontonnya sebanyak dua kali, itu pun sebab terpaksa...

Eclipse aku sudah ceritakannya pada entry yang lepas. Kali ini aku menontonnya tidak berseorangan. Hari Sabtu yang damai, aku ada date dengan hanny. Kami menonton wayang bersama. Tiga cerita sekali. Siapa hanny. ha ha ha. Biarlah rahsia. Aku pilih Eclipse pun sebab aku tahu, Twilight Saga antara filem kegemarannya. Macam aku cakap, Eclipse bukanlah filem yang akan melekat kat kepala otak aku untuk tempoh jangka masa yang lama tapi boleh dikatakan terbaik berbanding Predators dan jufa terbaik dalam kelompoknya yang tersendiri.


Selepas lunch ala kadar kami masuk panggung lagi. Filem seterusnya, Inception. Filem yang agak berat temanya. Selepas matrix, aku menanti-nanti filem yang mampu membuat aku teruja disebabkan kewujudan dunia lain selain dunia realiti. Cerita ini mengisahkan Dom Cobb seorang pencuri maklumat dari minda melalui mimpi seseorang. Tugas terakhir beliau membawa beliau bertemu Saito, seorang ahli perniagaan korporat.

Dalam misi terakhir Cobb mencuri maklumat daripada mimpi Saito, beliau kehilangan seorang arkitek perancang mimpi dan Saito yang mengkagumi kelebihan Cobb menawarkan peluang pekerjaan dalam misi menanam idea, maklumat dan pemikiran palsu (dalam cerita ni benda ni ada istilahnya yang tersendiri dan aku terlupa...) dalam pemikiran pesaing dia; Fisher melalui mimpi dengan ganjaran, nama cobb dibersihkan dari tuduhan membunuh isterinya Mal dan dapat bertemu kembali dengan anak-anaknya.

Melihat peluang yang ada didepan mata, Cobb bersetuju dan mula mengumpul ahli-ahli pasukannya yang terbaru selain Arthur termasuk ahli kimia Yusuf, pakar arkitek yang masih lagi belajar Ariadne, dan pakar penyamaran Earnes. Misi kali ini disertai Saito sendiri sebagai seorang pelancong. Apakah misi mereka berjaya? Siapa pula yang membunuh Mal. Anda saksikan sendiri... :-)

Dunia mimpi dan realiti lebih kurang sama. Tiada tenaga yang luar biasa, kehebatan dalam seni bela diri dan pertarungan diluar batasan minda kita. Semuanya berlaku secara semulajadi kecuali ia terjadi didalam mimpi. Aku sendiri tak pernah terfikir cerita yang sebegini. Anda jangan terkejut, dalam mimpi, mereka mampu bermimpi lagi dan dalam mimpi tersebut, mereka bermimpi lagi...

Cerita ini sehebat The Matrix, tu yang mampu aku katakan. Sesi pertarungan dalam graviti sifar cukup mengujakan aku. Setiap babak mampu disempurnakan dengan baik dan teliti. Cuma satu sahaja. Setiap plot diolah terlalu pantas dan kadang-kadang aku terasa pening untuk memahaminya. Permulaan cerita yang agak terklimaks sedikit, membuat aku tertanya-tanya siapa penjahat yang sebenarnya... Watak Cobb agak merumitkan dengan kisah silam beliau yang sering menghantui diri beliau sendiri sehingga beliau takut untuk menjadi arkitek mimpi, pada hal beliau adalah antara arkitek mimpi yang terbaik. Satu lagi, aku rasa tiada sebab Saito harus ikut serta dalam misi ini melainkan penerbit mahukan cerita ini kelihatan berbeza dipermulaannya. Aku akui, cerita ini sedikit berbeza dari cerita yang lain diawal permulaan.

Pengakhiran cerita ini cukup mengujakan. Berkemungkinankah akan ada Inception 2. Sungguh sayang jika cerita seperti ini ditamatkan sebegitu sahaja. Untuk Inception, aku bagi 3 setengah bintang. Bagi penggemar filem Matrix, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya.


Selepas Inception, kami pergi mencari toilet dan cari makanan untuk diseludup masuk untuk filem yang seterusnya. Kali ini aku memilih filem melayu genre seram; Mantra.

Mungkin melalui trailer filem tersebut kita disajikan dengan adengan-adengan yang terasa boleh meremangkan bulu roma. Seperti kebiasaannya filem melayu lebih indah trailer dari ceritanya... Inilah cerita seram yang paling tak seram sekali yang pernah aku tonton. Aku rasa rata-rata orang dalam panggung kecewa dengan filem ini. Filem ini bukanlah terlalu hampas sangat. Bagi aku jalan ceritanya menarik, kuat dan disertai pelakon-pelakon yang berwibawa tetapi garapan dan pengolahan cerita ini sungguh mengecewakan. Aku tak nampak apa elemen seram yang cuba ditampil oleh pengarah. Filem Zombie Kampung Pisang tu lagi bagus dari Mantra.

Jangan salahkan kenapa orang kita tak suka tengok filem sendiri kalau inilah keberhasilannya... Sunguh mengecewakan. Cerita seram menjadi cerita kelakar. Dengan RM12 aku rasa tak berbaloi sangat dan layak tengok DVD cetak rompak RM5 jer. Jangan marah dan cepat melenting... Tapi seharusnya Mantra boleh dihasilkan dengan lebih bagus lagi ditangan orang yang lebih kreatif.

Cerita sehebat mana pun, tapi bila ditangani oleh orang yang tak sesuai, cerita tu akan hancur juga. Aku tak mahu ulas panjang cerita ini dan aku tak galakan kamu semua menontonnya sebab indah khabar dari rupa. Tunggu sahajalah versi cetak rompaknya dipasaran. Itu mungkin lebih berbaloi...

Habis sudah cerita pasal marathon. Aku pulang dalam kepuasan yang maksima. Sebab aku dapat menonton filem-filem yang aku mahu walaupun filem terakhir sedikit mengecewakan. Minta maaf kalau aku terlalu mengasari filem Mantra. Sebab aku mengharapkan sesuatu yang berlainan dari filem tu...

So, hanny. I'm waiting your review from your perception. Janganlah blog tu dibiarkan terus berhabuk yer... :-)

Thursday, July 15, 2010

Mengimbau Kenangan Bersama Sarah

Salam semua... Salam pagi Khamis yang hening dan ceria. Cerita ni terjadi masa hujung minggu yang lepas pada hari Ahad. Hari Sabtunya aku bekerja, kemudian marathon menonton wayang. Ahad pagi aku keluar berjalan-jalan dengan Sarah. Sarah ni kawan masa aku buat Diploma dulu kat UiTM Shah Alam. Satu kelas tapi lain batch. Aku join kelas dia atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Berjanji dengan Sarah pukul 11.00am. Tapi aku sampai Shah Alam dalam pukul 12.15pm, lebih kurang macam tu. Terlewat lebih satu jam. he he he. Nasib Sarah sporting...

Mula-mula kami ke Kenny Rogers. Aku lapar dan dia pun lapar. Aku memang teringin nak makan ayam kat Kenny Rogers tu selepas aku dengan adik aku banned Kenny Rogers kerana servicesnya yang kurang memuaskan hati kami. Tapi sekarang ni services dia dah tip top balik. Mungkin dibawah pengurusan yang baru.

menu pilihan kami.

Selepas makan, kami menyusuri bangunan Plaza Alam Sentral sebelum menuju ke Shah Alam City Centre (SACC Mall) dengan matlamat mencari beberapa buah buku. Di SACC Mall, MPH dan Ezy Video menjadi tempat persinggahan kami. Lama juga kat situ. Aku membeli beberapa buah novel nukilan Kak Norhayati Berahim. Ada beberapa buah yang aku tak jumpa, ada terjual di MPH SACC Mall. Di Ezy Video pula aku terjumpa Koleksi Album Kitaro The Deluxe Audio and Visual Collection. Rembat gak. Aku ni jenis yang kalau dah terjumpa sesuatu benda tu dan aku berkenan atau memang aku tengah mencari, wajib membelinya... Sebab kebiasaannya, aku takkan jumpa lagi benda tu untuk kedua kalinya.

Tanpa sedar, masa pantas berlalu... Tau-tau jer, hujan dah lebat kat luar. Kami pun singgah lepak kat sebuah kedai donut yang dulunya francais Starbucks (aku lupa nama kedai donut tu...) Sebelum tu haruslah singgah ke kedai-kedai perfumes dulu.

Dari SACC Mall kami masuk balik ke Kompleks PKNS. Marwillis Publisher menjadi pilihan. Disitu aku membeli sebuah lagi novel berunsurkan keislaman. Aku rasa cukuplah untuk 2, 3 bulan akan datang. Di Kompleks, kami merayau-rayau ke kedai buku yang lain pula. Kedai-kedai lain pun wajib masuk. Aku membeli beberapa barang perhiasan rumah. Selepas tu kami melepaskan lelah di McDonalds. Makan Mc Flurry jer. Sambil bercerita dan mengimbau balik kenangan masa zaman-zaman belajar dulu. Sedar tak sedar, 10 tahun dah berlalu. Terasa macam baru semalam aku berkenalan dengan Sarah. Dan terasa baru semalam aku berkenalan dengan yang lain-lain juga; Kak Zana, Loyd, Sharizal, Diana, Moon, Muza, Farasela, Laila, Shal. Mereka ini masih berhubung lagi dengan aku. Sama ada melalui Facebook atau telefon. Zaid, Amir, Safa... Mereka tak dapat dikesan... (sekadar menyebut beberapa nama... yang tak tersebut, jangan berkecil hati, kalian tetap ku ingati...)

Akhirnya, atas persetujuan Sarah, kami buat sedikit perkara yang agak giler. Masa tu jam sudah melewati pukul 6.30pm. Kami menyusuri Tasik Shah Alam menuju ke Seksyen 2; mengimbau balik kenangan masa-masa dulu. Banyak yang dah berubah. Terlihat oleh kami muka-muka baru budak-budak UiTM... Dulu Tasik, Kompleks dan Seksyen 2 menjadi lokasi lepak king kami. Kini anda pula.

Taman Tasik Shah Alam


Tasik Shah Alam


7E yang tak berubah rupa


Ada KFC dah


gerai Seksyen 2 yang dah berubah rupa

Tasik pun dah banyak berubah rupa. Begitu juga dengan gerai-gerai di Seksyen 2. Dah ada KFC. Seven Eleven masih kekal berdiri seperti dulu. Gerai Sabariah Tom Yam, tempat selalu aku melepak dengan Sarah, Safa, Moon, Loyd, Kak Zana sambil menikmati Nasi Goreng Cendawan dah tak der. Abang waiter yang selalu mengambil order kami ketika itu sudah pun bekerja di kedai yang menjual barangan cenderahati (kalau tak silap aku...)

Di Menara Sultan ni la Fakulti aku sebelum berpindah ke bangunan baru yang sekarang menjadi Fakulti Sains Sukan

Hajat dihati nak pekena ABC. Tapi memandangkan aku berjalan dengan anak dara, maka batalkan hasrat untuk melepak lagi hingga kemalam. Selepas menghantar Sarah menaiki teksi pulang kerumah dia, aku pun bergerak balik ke Vista dengan seribu satu kenangan menyesak dada...