Followers

Friday, January 28, 2011

Berhentilah Merokok

Ihsan Pakcik Yahoo


Salam semua. Semoga dibawah lindungan Yang Maha Esa hendaknya dan ceria-ceria selalu. Wahhhh! Sekarang aku terlalu rajin mengupdate blog. Tapi bukan bermakna aku terlalu lapang. Tapi aku curi-curi masa seketika untuk menulis.

Kali ini aku ingin berkisah perihal rokok. Aku yakin ramai diluar sana tak kira lelaki mahupun wanita yang merokok. Kalau wanita yang merokok, terlalu janggal rasanya. Tapi bagi lelaki, mungkin itu sudah kebiasaan. Lelaki dengan rokok dah macam aur dengan tebing. Dah sinonim dan tak mungkin dapat dipisahkan. Mungkin ada juga lelaki yang tidak merokok. Contohnya aku. Hehehe. Aku bukanlah dikalangan lelaki yang merokok. Sejak dibangku sekolah lagi aku tak berapa gemar nak merokok. Bukan tak pernah mencuba. Tapi mungkin aku tak suka rasanya. Kalau ada rokok perasa vanilla, mungkin aku jadi perokok tegar kot. Tapi ada ke? Hahahaha.

Aku ada seorang abang yang boleh aku kategorikan sebagai seorang perokok tegar. Rokok dan beliau tidak dapat dipisahkan. Walaupun pelbagai iklan tentang bahayanya merokok terpampang dimerata, tapi beliau suka mengambil sikap endah tak endah. Aku dan kakakku beberapa kali menasihati beliau supaya berhenti merokok demi masa depan anak-anak beliau yang masih kecil. Mungkin beliau selamat, tapi asap yang terhembus keluar tidak selamat dan berkemungkinan disedut oleh anak-anak yang masih kecil.

Selama ini kata-kata kami hanya didengar tapi tidak dituruti. Alasannya terlalu sukar untuk berhenti merokok. Yelah! sudah hampir 15tahun menjadi hamba rokok. Mula-mulanya sehari sebatang, lama-lama menjadi dua kotak sehari. Tak ke mampus namanya!

Sudah agak lama aku tidak berhubung dengan beliau. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. Beberapa bulan lepas baru aku berkesempatan berbual panjang. Selama ini hanya bersms berbasa basi sahaja. Berita yang kuterima teramatlah mengejutkan. Beliau sudah berhenti merokok hampir 2 bulan setengah dan berlaku dalam tempoh 24jam sahaja. Hah! tak percaya? Percayalah...

Ada kisah disebaliknya... Suatu hari yang tidak diduga, abang aku ni terkena demam mengejut, sakit dada dan batuk berkahak yang berlarutan. Walaupun demam dah kebah tapi batuk masih lagi berlarutan. Malahan sampai berkoko-kokol. Maka beliau pergi membuat pemeriksaan susulan di sebuah klinik kerajaan. Setelah di periksa dan di X-ray, doktor mengesahkan yang abang aku ni sekadar menghidap batuk biasa. Legalah hati seketika.

Sekembalinya kerumah, beliau memeriksa kembali filem X-ray tersebut dan alangkah terperanjatnya beliau bila ada sebahagian dari paru-paru beliau tidak berapa jelas kelihatan. Beliau mula berfikir yang bukan-bukan. Walaupun doktor telah menerangkan sebelum itu bahawa beliau hanya terkena batuk biasa, tapi beliau masih tidak yakin dan berpuas hati. Walaupun ubat yang diberikan, dimakan mengikut aturan tapi batuk beliau masih tidak berkurang. Apa yang terlintas difikiran beliau ketika itu ialah kanser paru-paru sahaja. Disebabkan kerisauan yang melampau akhirnya beliau berhenti merokok immediately dalam tempoh 24jam. Hahahaha. Aku gelak guling-guling mendengar kisah beliau ini. Bukannya bersimpati. Sebab aku dah terlalu masak dengan perangai beliau. Sesuatu perkara diambil kira dengan terlalu serius tanpa dikenal pasti fakta dan butirannya.

Kerisauan beliau ini berlarutan untuk tempoh yang lama. Dimana dalam tempoh tersebut abang aku sudah berhenti merokok. Bila aku tanya kenapa tak rujuk kembali dengan doktor yang memeriksa dulu ataupun buat pemeriksaan susulan diklinik yang lain? Jawab beliau, beliau takut dengan berita yang tidak menggembirakan. Hahaha. Sengal sungguh abangku ini. Daripada dia ketakutan sendiri, apalah salahnya mencari kepastian...

Dalam pada mahu tak mahu akhirnya beliau merujuk X-ray beliau yang paru-parunya tidak kelihatan tu kepada boss beliau yang merupakan bekas doktor pakar dibeberapa buah hospital kerajaan dan juga hospital private disekitar Malaysia. Setelah diteliti dan membuat pemeriksaan susulan maka barulah dikenal pasti bahawa paru-paru beliau yang tidak kelihatan jelas di filem X-ray tu adalah disebabkan oleh kurangnya daya tekanan keatas plat X-ray ketika X-ray dijalankan. Maka imej kekaburan dan kepelikan itu terhasil di filem. Hahaha. Serius, aku gelak giler mendengar cerita beliau. Hanya kerana ketakutan dihinggapi penyakit kanser paru-paru, beliau yang dahulunya perokok tegar terus berhenti merokok serta-merta. Pada hal kesahihannya belum dikenal pasti lagi. Batuk yang beliau hidapi adalah disebabkan oleh jangkitan kuman diparu-paru jer.

Alhamdulillah, sampai kehari ini beliau sudah berhenti terus daripada merokok. Baru-baru ni aku berjumpa beliau, badan beliau pun sudah berisi. Malahan lebih berisi dari biasa. Mungkin kesan dari berhenti merokok yang secara mengejut. Beliau ada juga menyatakan yang kadang-kadang timbul keinginan untuk merokok kembali bila melihat orang lain merokok. Tapi aku selalu nasihatkan seandainya ketika itu memang beliau disahkan menghidap kanser paru-paru, apa yang akan beliau lakukan? Beliau terdiam... Allah memberi hidayah hanya sedetik sahaja. Anggaplah apa yang beliau lalui seumpama mendapat nyawa kembali

Begitulah kisah abang aku. Sebenarnya, bila kita inginkan sesuatu, kita seharusnya berusaha untuk mendapat dan mencapainya. Begitu juga bila kita berazam untuk berhenti merokok, kita seharusnya cuba untuk berhenti. Bukan sekadar menanam azam, tetapi dilaksanakan dengan mengambil kira strategi-strategi yang harus diguna pakai. Begitu juga dengan perkara-perkara lain disekeliling kita.

Seandainya ketika itu memang abang aku ni disahkan menghidap kanser paru-paru, bayangkanlah apa yang bakal terjadi... Anak sulung beliau baru berumur 10 tahun dan yang bongsu baru berusia 1 tahun 4 bulan... Renung-renungkanlah...

0 comments: