Followers

Friday, September 30, 2011

Review Filem: The Sorcerer and The White Snake

Assalamualaikum semua... Semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T hendaknya.

Semalam aku meluangkan masa menonton filem yang bertajuk The Sorcerer and The White Snake. Ketika orang tengah ghairah menonton filem Johny English Reborn, aku memilih filem keluaran China berbahasa Kantonis. Aku memang minat filem dongeng klasik cina. Macam Journey To The East, Chinese Ghost Story dan sebagainya. Bila aku dapat khabar The Sorcerer and The White Snake dibuat semula dan menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Jet Li (Sami Fahai), Charlene Choi (Qing Qing@Green Snake), Raymond Lam (Xi Xian), Eva Huang (Susu@White Snake) dan sebagainya, aku terus nak menontonnya.

Filem ini mempunyai dua jalan cerita yang berbeza; yang pertama kisah pengembaraan seorang sami bernama Fahai bersama anak muridnya Nen Ren dalam membanteras keganasan syaitan dimuka bumi. Ketika zaman itu syaitan digambarkan sangat berleluasa dalam menyesatkan manusia termasuk memakan manusia.

Kisah kedua berkisah dua adik beradik syaitan ular; White Snake yang bernama Susu dan Green Snake yang bernama Qing Qing. Mereka ini hidup harmoni ditempat yang tenteram bersama syaitan kura-kura, arnab, ayam dan katak sehingga suatu ketika munculnya seorang lelaki pemetik herba yang merubah kehidupan dua beradik ini...

Pada mulanya Qing Qing sekadar mahu menyakat pemetik herba ini yang bernama Xu Xian, tetapi malang tak berbau bila Xu Xian terjatuh ke dalam tasik dan hampir mati lemas. Maka terpaksalah Susu campur tangan demi menyelamatkan Xu Xian. Dalam usaha menyelamatkan Xu Xian secara tak sengaja, Susu telah mengalirkan intipati badannya ke dalam tubuh Xu Xian. Secara tak langsung mereka saling jatuh cinta bersama. Susu bertindak nekad demi cinta sejati dia, dia bersama Qing Qing masuk kedunia manusia.

Berbalik kepada kisah Sami Fahai dan Nen Ren, dalam usaha membanteras syaitan, Nen Ren telah terkena gigitan Syaitan Kelawar yang menyebabkan Nen Ren bertukar menjadi Syaitan Kelawar. Ketika inilah detik perkenalan Qing Qing dan Nen Ren bermula.

Dalam usaha menolong manusia yang menjadi mangsa Syaitan Rubah, Xu Xian mencipta pelbagai formula ramuan herba tapi satu pun tak berkesan. Kerana kesiankan Xu Xian, Susu (yang ketika itu telah menjadi isteri Xu Xian) telah memberikan intipati badannnya sekali lagi bagi memujarabkan ramuan herba Xu Xian. Kemujaraban ramuan herba Xu Xian menjadi terkenal sehingga menarik perhatian Sami Fahai. Ketika ini lah Sami Fahai dan Susu aka White Snake bertemu...

Sami Fahai mempertahankan ajaran Budha bahawa Syaitan dan manusia tidak boleh hidup bersama. Manakal Susu mempertahankan cinta sejatinya, maka bermula pertarungan demi pertarungan yang tiada kesudahan...

Apa yang telah terjadi pada Susu? Dapatkah dia hidup bersama Xu Xian? Adakah Xu Xian dapat menerima Susu setelah mengetahui siapa Susu sebenarnya? Apa yang terjadi pada Nen Ren dan Qing Qing? Adakah memang benar syaitan dan manusia tidak boleh hidup bersama? Anda saksikan sendiri dipawagam berdekatan.

Pendapat aku antara filem asal dan remake sangat berbeza walaupun jalan ceritanya sama. Kedua-duanya aku suka. Mungkin disebabkan teknik CGI sekarang lebih canggih maka tiada masalah bagi merealisasikan babak pertarungan yang lebih hebat. Cuma ada beberapa kekurangan dari segi teknik CGI. Ada beberapa babak yang menggunakan teknik CGI tidak nampak realistik. Malahan penceritaannya agak sedikit longgar berbanding filem yang asal.

Bagi mereka yang mengimpikan aksi mantap Jet Li, ini bukan filemnya. Tapi bagi mereka yang sedang hangat bercinta, sangat berbaloi untuk ditonton. Aku bagi 3.5 dari 5 bintang. Selamat menonton