Followers

Wednesday, August 18, 2010

Lagi-Lagi Durian... Di Bulan Ramadhan


Salam semua... Bila sebut pasal durian, semua orang akan terbayang buah berduri yang baunya cukup menusuk hidung. Ada sesetengah menggemarinya dan ada pula yang tak berapa suka. Cium baunya sahaja sudah cukup memeningkan kepala.

Aku memang hantu durian. Bukan tahap hantu, mungkin dah jadi setan kot. He he he. Jangan ditanya aku berapa ulas aku makan. Tapi tanya berapa pokok aku mampu makan. Mood makan durian aku bermusim. Bila tiba masa aku nak makan durian, sekali hadap, aku boleh habis 2 ke 3 biji sekali makan. Itu sekali hadap. Sehari aku boleh menghadap durian lebih empat kali. Jadi kiralah berapa biji aku mampu makan. Itu bila tiba masa aku meroyan nak makan durian... Bila bukan masanya, kek perasa durian pun aku tak lalu nak menjamah.

Semalam, aku berkesempatan menemani Ayahku yang mempunyai urusan di Kuala Kubu Bharu. Bisness keluarga. Secara tak langsung aku pun terlibat sama. Kalau tak terlibat, tak dapatlah bahagian aku :-). Dalam perjalanan menuju kesana, melalui Lembah Beringin, Kerling dan Kuala Kubu Bharu boleh dikatakan dikiri kanan ada orang menjual durian. Aku teruja. Sebelum itu, beberapa hari dan beberapa minggu Ayah aku ada mengoffer untuk membelikan durian, tapi aku menolak. Sebab tekak aku belum mampu untuk menerimanya lagi dan kali ini tekak aku sudah bersedia!

Durian di kawasan ini berbeza dengan kawasan lain. Kebanyakan durian disekitar sini, durian bukit atau durian gunung dan ada sebahagiannya durian hutan asli yang dijual oleh masyarakat orang asli disekitar. Rasanya... Masyaallah! Sungguh enak sekali. Lebih enak dari GCB McD, Chocolate Indulgence Secret Recipes, Ayam perasa original dan spicy KFC, Char kuew Tiow, Laksam, apam balik, satay dan kuih akok.

Jadi aku memang teruja memborong durian semalam. Sepanjang jalan aku mencium bau yang menggiurkan... Sampai kerumah, aku dah tak sabar-sabar lagi mahu meratah durian. Aku dah tak fikir juadah lain. Dalam kepala otak aku hanya durian sahaja. Azan Maghrib berkumandang, durian dulu yang ku capai. Ayahku menggelengkan kepala, Emakku pula menegur... Tapi aku peduli apa. Hajat aku mesti dipenuhi. Saat durian tu mencecah gigi dan ku kunyah serta ku telan... Masyaallah... Lazatnya, Nikmatnya, Sedapnya. Perggghhhhh!!! (korang meliur ke? Ha ha ha)

Alhamdulillah, aku tidak punya apa-apa masalah dengan durian. Makanlah banyak mana, Insyaallah tidak akan berlaku perubahan Biologi dalam diri aku. Ada sesetengah orang. Makan seulas, terus nak pitam. Makan sedikit, darah tinggi naik. Tapi aku, Boleh tambah lagi beberapa biji. Aku juga serba sedikit tahu menahu pasal skill memilih durian. Mungkin ini warisan daripada Pak Lang aku yang mempunyai dusun sendiri. Maka secara tak langsung aku sendiri terbiasa bila setiap kali beliau menilik durian untuk diagihkan

Tuesday, August 17, 2010

Nostalgia Ramadhan

Salam semua... Sedar tak sedar sudah masuk hari ketujuh kita berpuasa. Dan tinggal 23 hari lagi Ramadhan bakal meninggalkan kita yang pemergiannya ditangisi seluruh alam termasuk tujuh petala langit serta tujuh petala bumi.

Ramadhan kali ini cukup berbeza. Berbeza buat diri aku yang serba kekurangan. Kadang-kadang jiwa aku meronta kerana kekurangan ini. Tapi Alhadulillah... Rezeki aku masih murah disisi Allah. Walaupun sukar dan perit untuk aku hadapi tapi tidak perit sampai beronak dan berduri.

Kedatangan Ramadhan kali ini mengimbas kembali nostalgia aku kecil-kecil dahulu. Yang jelas terbayang dimata, ialah ketika arwah nenek aku masih hidup. Beliau ku panggil Embah gelaran yang diberikan kepada nenek perempuan dalam Bahasa Jawa. Ayahku berketurunan Banjar manakala Ibuku berketurunan Jawa. Embah yang aku maksudkan ialah Ibu kepada Ibuku. Setiap kali menjelang Ramadhan beliau akan bermaustautin dirumahku. Kata beliau senang untuk bertarawikh kerana ketika itu Ayahku yang menjadi Imam.

Aku akui... Dikalangan cucu-cucu beliau, aku ni yang paling nakal sekali. Tapi dengan beliau, aku jadi sedikit patuh berbanding patuh kepada Ibuku sendiri. Walaupun kadang-kadang aku melawan, tapi tidak sampai hati.

Kebiasaan selepas tarawikh, aku menghadap peti televisyen. Menonton rancangan-rancangan berbentuk keagamaan. Yang menjadi kegemaran aku ketika itu, Solat Sunat Tarawikh di Masjidil Haram. Embahku ialah peneman setia aku ketika itu. Ayahku, Adikku dan juga Ibuku telah lama hanyut dibuai mimpi indah. Dan kebiasan kami (aku dan embahku) akan mentong (ulang makan dalam istilah jawa). Kuih, Laksa dan kadang-kadang maggi pun boleh jadi santapan kami.

Embahku rajin melayan kerenah aku ketika itu. Kadang-kadang beliau sudah tertidur tapi bangun semata-mata nak menemani aku mentong dan seusai mentong, beliau akan menemani aku menonton televisyen pula.

Walaupun Embahku menghabiskan hampir sebulan Ramadhan dirumahku, beliau jarang merayakan kedatangan Aidilfitri bersama-samaku sekeluarga. Beliau lebih suka meraikannya dikampung kelahiran anak-anaknya di Perak. Manakala Ibuku saban tahun beraya bersama ayah dikediaman kami sekarang kerana kediaman kami sekarang sudah seperti kampung halaman buat adik beradik Ayahku. Dan seperti kebiasaan, 2 ke 3 hari terakhir Ramadhan, Embahku akan meminta untuk dihantar pulang ke kampung halamannya. Jarak diantara rumah aku ke sana cuma mengambil masa 45minit ke 1 jam.

Ramadhan tahun 1999... Seperti kebiasaan, kami menyambutnya bersama-sama keluarga dengan diserikan oleh kehadiran Embahku. Ketika itu aku ditingkatan 5 dan sedang menduduki peperiksaan SPM. Ramadhan diraikan dan disambut penuh kesyukuran sehinggalah menjelangnya Syawal. Pertama kali dalam sejarah, aku bersekongkol dengan adikku memujuk Embahku untuk meraikan Syawal bersama kami. Embahku bersetuju, tapi disertakan syarat; Embahku minta dihantar pulang ke kampung halamannya menjelang 1 Syawal... Kami bersetuju. Malam Raya, bersama-sama ayahku, adikku, ibuku dan juga nenekku (ibu kepada ayahku) kami bertolak ke Kampung Sg. Bugis Perak dalam misi menghantar Embahku.

Beberapa bulan selepas Syawal, Embahku sakit kuat, dan tanggal hari Jumaat tahun 2000 (aku terlupa tarikh dan hari serta bulannya), ketika aku pulang dari sekolah, aku dikejutkan dengan berita Embahku pergi untuk selama-lamanya. Aku terkesima...

Diambang Syawal lepas yang kuraikan bersama Embahku adalah Syawal pertama dan terakhir untuk kami sekeluarga. Mungkin ketika itu Embahku seperti mengerti bahawa tiada lagi Syawal buat beliau.

Setiap kali kedatangan Ramadhan, aku seakan-akan terkenangkan beliau. Hadir menghidupkan kembali malam-malam Ramadhan aku... Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, para Syuhada', Anbiya' serta Solihin... Amin. Al-Fatihah...

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan... Marhaban

Salam Semua... Salam 1 Ramadhan 1431Hijrah bersamaan 11 Ogos 2010Masihi. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini membawa sejuta rahmat dan sejuta keberkatan buat kita semua. Andai ini adalah Ramadhan terakhir buat kami semua, maka sempurnakanlah ibadah kami Ya Allah dan jadikanlah ia sebagai Ramadhan terakhir yang penuh pengisian rohani dan jasmani yang mendapat keberkatan dilangit mahupun dibumi... Amin.

Alhamdulillah... Aku bersyukur kerana aku masih lagi diberikan peluang untuk mengecapi keindahan dan kenikmatan bulan yang dijanjikan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang sabar dan bertakwa...

Ramadhan kali ini berbeza sekali. Entah kenapa aku terasa sayu dan sedih. Seolah-olah ini adalah Ramadhan terakhir buat aku. Banyak perkara yang berlaku dan terjadi berlegar disekeliling aku. Memerlukan suatu kekuatan untuk aku sabar dan tabah menghadapinya. Buat pertama kali seusai aku menamatkan Solat Tarawikh yang pertama, air mataku tertumpah jua diatas sejadah... mengimbas kembali segala rentetan onak duri yang aku tempuhi yang akhirnya menemukan aku dengan Ramadhan kali ini.

Walaupun Ramadhan kali ini tidak sesempurna mana dari segi jasmani buat diri aku, aku berharap mudah-mudahan Rohani aku akan terisi lebih dari Ramadhan yang terdahulu. Amin

Selamat Menjalani Ibadah Puasa semua... Dengan hati yang lebih bersih, suci dan tawaduk...

Saturday, August 7, 2010

Al-Kisah... Perfume


Salam semua... Semoga sihat sentiasa dibawah lindungan yang Maha Esa. Beberapa hari lagi kita akan menginjaki ke ambang Ramadhan... Dah habis ke puasa ganti korang? He he he. Hari ini aku terasa amat bosan sekali. Maka aku plan nak keluar berjimba-jimba dengan adikku tersayang di Shah Alam. Sekadar mencari barangan rumah yang telah kehabisan.

Cari punya cari, maka tercarilah aku perfume. Memang niat dihati mahu membeli sebab perfume aku memang dah habis. Kat otak dah disetkan, aku nak beli CK Eternity Aqua. Aku pernah test baunya dan menepati citarasa aku; floral, natural dan amazing. Aku tak suka bau yang terlalu manly dan masculine. Jadi perfume pilihan aku agak limited. Kebiasaannya Armani, CK dan Issey Miyake yang jadi pilihan aku. Tapi kali ini sesuatu berubah...

Adik aku menyuruh aku mencuba Davidoff Hot Water. Davidoff, Dunhill dan Polo bukanlah jenama yang menjadi pilihan aku. Memang aku takkan mencuba untuk mencium baunya sebab memang bukan taste aku. Tapi tetiba petang tadi sesuatu berlaku. Dan aku mencium bau Davidoff Hot water buat pertama kali. Baunya.... Ya Allah, terus menangkap ke kepala otak aku. Perit.

Bau dia cukup berbeza dari mana2 perfume yang pernah aku miliki... Lebih 'jantan' dari selalu. Adik aku memberi tanggapan yang berbeza berhubung dengan perfume ini. Segala aspek yang diberitahu adalah dari sudut sifat kewatinaan beliau. Selama ini aku membeli hanya berdasarkan perspektif dan keinginan aku. Dan apa yang aku selesa pakai.

Akhirnya aku pulang dengan sebotol Davidoff Hot Water. Secara jujur aku tidak berapa menyukai baunya walaupun sedap dihidu. Akan tetapi selepas aku mencuba menyemburnya ketangan dan dibiarkan selama beberapa jam bau yang terhasil cukup mengghairahkan... ha ha ha. sekarang baru aku faham, apa yang adik aku cuba sampaikan.

Davidoff Hot Water, berbeza dengan perfume yang lain. Semburan diatas kertas dan dikulit menghasilkan bau yang berbeza. Bau yang terhasil dari semburan keatas kulit menghasilkan aroma sensual, dramatik dan passion. Selama ini perfume yang aku beli menghasilkan bau yang lebih kurang serupa sama ada diatas kerta mahupun dikulit.

Belum pernah aku bertahan dengan satu perfume. Paling lama yang pernah aku pakai, City Glam by Armani. Secara tak langusung, aku mula menyukai Davidoff Hot Water. Baunya tahan lama, semakin lama semakin bertukar baunya menjadi lebih manis dan mengghairahkan... (ha ha ha. poyo...)

Friday, August 6, 2010

Novel

Salam semua... Salam tengah hari Jumaat yang mulia. Hari Jumaat yang terakhir di bulan Sya'ban. Lamanya aku tak bersiaran. Bukan sibuk dan juga bukan terlalu sangat melayan perasaan. Tapi aku terlalu malas nak membuka blog. Salah satu sebab; line broadband yang macam biskut choc fudge. Kejap ada, kejap tak de. Mula-mula aku ingat whitey cari pasal. Ataupun DiGi line aku bermasalah. Tapi rupa-rupanya Nokia PC Suite aku tu yang selama ini jadi host untuk dial up internet, kena update supaya compatible dengan DiGi Broadband aku yang kadang kala mencapai kelajuan tahap 3.5Gs.

Rupanya aku dah jauh menyimpang dari topik yang nak aku ceritakan. He he he. Normallah kan. Berbalik pada tajuk entry diatas, siapa yang minat membaca? Aku rasa rata-rata bloggers memang suka membaca. Dengan membaca itu lah, kadang-kadang kita dapat idea macam mana nak menulis kat blog. Betul tak?

Membaca macam sudah menjadi tabiat aku. Kadang-kadang masuk toilet pun aku bawa buku. Kedai buku menjadi tempat wajib dikunjungi bila aku keluar kemana-mana. Sekarang ini, Kalau kamu semua tengok, lambakan novel-novel berbahasa Kebangsaan macam sudah menjadi trend. Macam-macam genre novel ada; cinta, Islamic, komedi, thriller dan sebagainya yang kadangkala cukup memeningkan kepala untuk kita membuat pilihan. Untuk diri aku, budget setiap bulan hanya untuk 2 buah buku sahaja yang meliputi novel ataupun bahan bacaan am.

Novel pilihan aku biasanya datang daripada penulis-penulis kegemaran aku. Kalau mereka ni ada novel keluaran terbaru, wajib aku membelinya. Aku sudah terbiasa dengan gaya penulisan Norhayati Berahim, Ramlee Awang Murshid, Nizam Zakaria, Aisya Sofea yang sentiasa ada kejutan. Bukan aku tidak mahu keluar dari kepompong mereka. Pernah... Tapi teramat mendukacitakan...

Aku cukup anti kalau aku membelek novel dan tertera nama-nama watak yang terlalu pelik untuk disebut dan terlalu jangal didengar... Contohnya seperti Adrienna Arrisya Natsya Ryan... (Motiiippp!) Tolonglah... Walaupun ada manusia sebegini wujud, bukankah novel tu satu medium yang paling melekat di hati dan otak? Untuk kita jadikan iktibar dan merapatkan diri kita dengan penulisnya?...

Kalau aku sebut Laksamana Sunan, apa yang kamu semua fikirkan??? Ramlee Awang Murshid, betul tak? Keris Naggore, betul tak? Sebab itu kenapa nama-nama watak itu penting untuk disebut supaya mudah diingat dan dapat diselami jalan ceritanya. Contoh yang lain, katakanlah watak yang dicipta itu berdarah kacukan, tidak perlulah penulis mahu mencipta nama yang terlalu bombastik... Salah satu watak novel berdarah kacukan yang melekat kat otak aku sehingga sekarang; Carl Zafran (ibunya berbangsa sepanyol dan bapanya berdarah melayu) dari novel Cinta Pertama nukilan Norhayati Berahim yang kali terakhir aku membacanya kira-kira 3 tahun lepas. Simple, menarik dan kemas namanya. Tak berbelit lidah aku nak menyebut. Bila aku tersebut Carl Zafran, aku terus teringat Nurul Iman, Pak Tabib dan sebagainya... Bukankah ini sudah cukup untuk kita mengingati semula jalan ceritanya, dan mahu menyelami semula isi ceritanya? Secara tak langsung, kita sendiri terus teringat dengan penulisnya...

Beberapa penulis yang aku sebutkan namanya seperti diatas merupakan penulis belainan genre penulisan... Ramlee Awang Murshid cukup sinonim dengan genre thriller, Norhayati Berahim genre cinta yang penuh pengisian jiwa, Nizam Zakaria... erkkk aku tak berapa pasti beliau penulis bergenre apa. Akan tetapi tulisan beliau skeptical dan melangkaui gaya penulisan penulis-penulis Malaysia yang lain... Contohnya; Awang Vampiro, Mata Kucing, Seri Tertangguh yang bagi aku karya beliau kadang-kadang terlalu sinis dan melangkui kebatasan akal manusia berfikir. Awang Vampiro sebagai contoh. Berlatar belakangkan kemusnahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan Zaman Renaissance di Eropah, munculnya watak-watak seperti Awang yang menjadi punca berlakunya sesuatu peristiwa besar didunia.

Aku pernah terfikir, sampai bila kalau aku membaca novel aku harus dibayangi oleh penulis-penulis kegemaran aku seperti diatas? Aku suka membuat perbandingan antara karya penulis ini dengan penulis itu. Aku pernah membeli novel yang aku suka jalan ceritanya. Menarik. Akan tetapi aku berasa hampa bila nama-nama watak yang diberikan terlalu bombastik. Malahan olahan dan garapannya terlalu ringan. Situasi perbualan diantara watak-watak seperti dibuat-buat dan macam terasa kaku dan janggal pada hal perbualan itu sekadar perbualan yang biasa-biasa sahaja.

Ada lagi beberapa penulis yang aku cuba dekati karyanya seperti Anuar Kamaruddin, Hlovate, Rose Harissa yang bagi aku mereka punyai kelainan dalam berkarya cuma aku kurang berkenan dengan nama-nama watak yang diberikan. Walupun bukan bombastik tetapi terasa macam plastik sedikit. Mohon maaf yer :-)

Apa yang aku coretkan disini, adalah sekadar pendapat peribadi aku sahaja. Bila aku membeli novel atau buku, biarlah terasa seperti aku berbaloi untuk memilikinya walau dengan harga RM19.90. RM19.90 apalah sangat nilainya... Tetapi bagi mereka yang tidak berkemampuan, nilai sebegitu terlalu tinggi harganya...

p/s: novel seharusnya mempunyai perasaan dan bukannya perasan :-)