Followers

Thursday, March 31, 2011

Ohhh... Jangan Cuba-Cuba!

Assalamualaikum semua. Semoga dalam limpahan dan rahmat serta kasih sayang daripada Allah S.W.T... Lama sungguh aku tak keluarkan entry meroyankan? Okay... Entry ni entry meroyan. Kalau tak suka tak mengapa. Aku tak paksa baca.

Masa aku balik kerja, tengah terkocoh-kocoh nak balik, dalam kepala dah mula menyusun atur apa yang perlu dibuat; mengemas periuk nasi yang telah direndam pagi tadi, kemas buah, kemas bilik, seterika baju untuk hari-hari yang berikut, masa itu jugalah seorang budak salesman Celcom Broadband menahan aku. Mempromosikan produk dia. Aku malas nak layan. Sekarang ni setiap saat amat berharga buat diri aku.

Semakin aku tak layan, semakin pulak dia ghairah menahan aku. Aku berhentilah sekejap. Bukan berniat nak membeli. Tapi beri peluang dia bercakap. Dia cakap promosi sampai hari ni sahaja; RM38 untuk 1GB penggunaan (ye lah tu hari ni saje. Sok lusa ko ada gak lagi). Satu lagi untuk korang; 1GB tu nilai penggunaan. Bukannya nilai kelajuan. Habis nilai penggunaan, maka lembablah kelajuannya.

Bab Celcom Broadband ni memang dah lama menghanginkan aku. Kerap gak aku meroyan kat facebook. Tambah meroyan dan naik syeikh bila orang paksa-paksa macam ni. Macamlah produk dia bagus sangat!
Aku cakap kat dia; "pakai Celcom Broadband tak?"
Dia cakap pakai! Baguslah! Lajulah! Pot pet pot pet! Sok sek sok sek!...
Terus aku potong cakap dia; "Apsal saya pakai lagi slow dari siput babi yang terendam dalam air?" Korang tahu tak apa dia jawab?; "OHHH ITU JAUH DARI KAWASAN LIPUTAN!" (sekali aku silambam budak ni, memang teruk la).

Lantas aku menjawab ala-ala Ziana Zain tengah melontar vokalnya; "mendenya tak der liputan? kat belakang tu saya duduk!" (aku duduk kat kawasan perumahan disebelah stesen LRT Universiti. Logik ke tak der liputan?). Terkebil-kebil budak tu.

Aku apa lagi terus tarik chorus ala-ala Wohnen pulak (ye lah aku kan batuk dan serak); "bagi tau Celcom suruh upgrade dia punya service dan jaga customer dia yang sedia ada sebelum larik. Services yang sekarang pun lebih hampeh dari hampeh. Lagi satu, (bab ni aku suka. Hahaha. Aku promosi pulak produk aku) saya pakai DiGi Data Unlimited rates (sekarang dah x der dah. Mula-mula DiGi memperkenalkan Internet Broadband dulu). Saya guna dah hampir 3 tahun. Plan tu pun dah tak der lagi. Orang sibuk merungut pasal Celcom, Maxis. Tapi saya tak der masalah dengan penggunaan DiGi, tak kan saya nak cari masalah tukar ker Celcom yang memang sudah sedia bermasalah?" Diam budak tu (aku semenjak dua menjak ni, pandai melawan, menjawab dan memprotes. Pantang benda tu tak puas dihati aku, memang kenelah... Tak tahu apa sebab).

Aku sambung lagi; "Celcom broadband yang saya subscribe weekly tu pun, slow" (masa ni aku dah cool down).
"Ohh itu lain bang!' Amboi! ada hati nak menjawab tu.
Aku senyum, kemudian aku jawab lebih kurang begini; "udah-udah lah tu dik. Cari jer orang lain". Aku terus blah. Dalam hati, Allah jer yang tahu...

Friday, March 25, 2011

Solat Jumaat


Assalamualaikum semua. Semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Aku beruntung sebenarnya. Tempat kerja baru aku disediakan tempat solat Jumaat. Walaupun hanya sebuah surau yang kecil tetapi telah dibaik pulih supaya dapat menampung kebanjirang jemaah yang menunaikan Solat Jumaat. Akan tetapi ada segelintir manusia-manusia ini yang dimana kesenangan ini tidak diguna pakai sehingga mengabaikan solat.

Aku terkenang dibeberapa tempat aku bekerja dulu. Terpaksa menaiki bas atau LRT untuk ke masjid. Lepas tu terpaksa berjalan kaki bermeter-meter jauhnya. Tu belum lagi berebut-rebut nak dapatkan saf yang terbaik. Ini cuma turun ke bawah jer da sampai surau. Itu masih malas lagi. Tak taulah nak kecek gapo doh. Tunggu bala jer.

Timing aku belum tepat lagi nak menunaikan Solat Jumaat ditempat baru ni. Kadang-kadang ketercepatan. Kadang kala pula keterlambatan. Teringat pesan Ayah aku. Kalau pergi Solat Jumaat, pastikan sebelum azan pertama berkumandang kita sudah beriktikaf. Aku pegang kata-kata Ayahku...

Hari ini aku keterlewatan. Sampai sahaja di surau orang dah ramai. Tempat letak kasut langsung penuh. Minggu lepas aku ketercepatan. Belum pernah lagi aku bersolat dikawasan luar surau. Hari ni kena gak... Kawasan dalam surau dah penuh. Hanya dapat menatap wajah khatib melalui skrin TV yang disediakan sahaja. Mungkin hari ni ada Konvokesyen untuk Lincoln College kot. Tak pun sebab ada Careers Fair kat PWTC. Tu pasal jemaah ramai semacam jer. Biasanya kalau ada 'pesta' kat PWTC tu memang hiruk pikuk la dibanjiri dengan bermacam ragam manusia. Aku pernah tersepit; tak boleh keluar dan tak boleh masuk diantara lautan manusia yang membanjiri MATTA Fair yang baru jer berlalu tu. Walhal aku nak balik kerja jer tu...

Friday, March 18, 2011

Baru Terasa Penatnya...


Assalamualaikum semuanya... semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T

Sejujurnya sepanjang sejarah aku bekerja, belum pernah aku rasa keletihan yang sebegini. Minda dan tenaga dikerah bersama untuk bekerja. Sekejap-sekejap menyelongkar fail. Fail dari zaman tok nenek yang aku pun masih lagi belum habis belajar. Aku ingatkan bila tak jumpa, tutup fail. Takkk... Aku kene turun ke Jabatan Imigresen pula untuk buat pengesahan. Haiyooo... Penat mak nyah!

Seawal pagi masuk kerja, non stop otak ni berfikir. Tangan sibuk menaip surat kalah pegawai bergred 41. Tak per, tuntutan kerja. Itu yang selalu Mak Ayah aku nasihatkan. Peliknya di daerah ini, Kalau tak der kerja, memang betul-betul tak der kerja. Sampai merayu-rayu minta kerja kat kawan-kawan supaya tak nampaklah macam goyang kaki bila terserempak bos. Hahaha.

Tadi sedar-sedar jer dah pukul 12.30pm. Aiyarkkk! Banyak lagi tak settle. Nak pergi Solat Jumaat pun terasa malas walaupun Solat Jumaat dibuat di bawah opis jer. Mana lebih penting tuntutan kerja atau tuntutan agama? Jawab sendiri... Cau cincau

Wednesday, March 16, 2011

Manusia-Manusia Yang Tidak Mempunyai Kesedaran Sivik

Assalamualaikum semua... Semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Pagi-pagi buta lagi sudah buat hati aku kepanasan. Kadang-kadang manusia disekeliling kita ini langsung tak mahu peka dengan orang yang berada disekeliling mereka. Contohnya:

1) Disusur pejalan kaki dari kawasan perumahan aku menuju ke Stesen LRT Universiti, dibanjiri para peniaga yang menjual sarapan pagi seperti nasi lemak dan kuih muih. Itu hak mereka untuk berjualan dan aku tak salahkan mereka juga. Mereka juga mencari rezeki yang halal. Tapi tahu tak mereka, mereka telah menggangu laluan tersebut yg disediakan bagi memudahkan orang ramai bergerak lebih pantas ke Stesen LRT tersebut. Seusai berniaga, tempat itu menjadi kotor dan menjijikan. Malahan isu ini pernah memasuki rancangan Aduan Rakyat tapi apa tindakan DBKL? Apa salahnya kalau dibina gerai yang sesuai berhampiran kawasan lapang disebelah stesen LRT tersebut...

2) Sikap manusia sendiri yang langsung tak der self awareness. Kadang-kadang manusia spesis ini buat bodoh sahaja berjalan. Memanglah mata mereka kat depan tapi mustahil mereka tidak perasan ada manusia lain dibelakang yang memang tengah rushing atau jenis yang laju berjalan seperti aku. Ketepi lah dan bagilah laluan. Ini tidak... Terus feeling Primadona Sarimah...

3) Jenis manusia yang tidak membuat persediaan. Ini lagi satu. Dah sampai depan gate nak swap kad pass, kad touch n go atau tiket baru terhegeh-hegeh menyelongkar handbag. Lepas tu tidak mahu ketepi memberi laluan kepada orang lain. Apa mereka ingat itu laluan red carpet khusus untuk mereka? Ketepi dan selongkarlah segala isi beg tu selagi boleh diselongkar barulah masuk barisan semula.

4) Buat-buat tak nampak dan tak faham. Bila menaiki escalator (tangga bergerak tu ler), sudah sahih ada papan tanda disuruh berdiri disebelah kiri. Dan disebelah kanan khusus untuk mereka yang menggunakan escalator seperti menaiki tangga. Ini tidak, sebelah kanan tu lah dia berdiri terconggok tak peduli orang dibelakang. Lagi terbakar jiwa bila berpegangan tangan dan siap cium-cium mulut lagi. Aku rasa macam nak tarik dia kebelakang dan biar manusia jenis ini jatuh tergolek. Tolonglah, prihatinlah sikit.

5) Tempat khas untuk orang tua, ibu mengandung, orang kurang upaya dan kanak-kanak. Minta maaflah yer kalau ada yang terasa. Aku cukup tidak berkenan kalau tempat khusus ini yang duduk adalah orang yang terlebih upaya. Cacat ke kau? Mengandung ke kau? Walaupun tiada orang sebegitu didalam train, tapi dah sahih mentioned tempat tu khusus untuk orang sebegitu. Memang tak salah nak duduk, tapi korang tak rasa bersalah dan malu ke? Korang sihat tubuh badan, tapi menggunakan perkhidmatan khas untuk orang kurang upaya... Aku minta maaf ler. Selagi boleh berdiri, aku berdiri. Setakat 10 stesen, Insyaallah, Allah membantu aku dengan memberikan tenaga dan kesihatan yang baik sepanjang perjalanan...

Ini adalah rentetan kisah aku sepanjang pergi dan balik kerja. Inilah setiap hari yang aku hadapi. Mungkin sampai aku pencen gamaknya...

Alhamdulillah, Selamat...

Assalamualaikum semua... Semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Kala ini hati aku mula berasa tenang kembali. Alhamdulillah kedua orang tuaku telah selamat kembali dari tanah Borneo atas urusan majlis perkahwinan. Atas sebab yang tidak dapat dielakkan, aku tidak dapat ikut sekali. Itu yang amat aku kesalkan...

Sepanjang mereka disana, rasa gusar dan bimbang sentiasa ada. Selamatkah mereka, cukup makankah mereka... Walaupun telefon jadi penghubung, rasanya seperti macam ada kekurangan. Yelah! Walaupun kat bumi semenanjung ni jarang bersama, dan telefon jua yang jadi nadi penghubung, if anything happens, aku masih mampu lagi bergegas mendapatkan kedua orang tuaku. Ini diseberang lautan...


Flight, yang dijangka berlepas pada pukul 5.50pm dari Tawau ke KLIA, tertunda hampir 35minit. Masa aku dapat panggilan daripada mereka, mereka just mentioned; flight delayed. Aku malas nak push mereka bertanya lebih lanjut, waktu sebenar berlepas. Sebab nanti lain pula jadinya. Cuma aku diberitahu 6 petang lebih baru berlepas. Aku rasa geram juga. Orang-orang muda macam sepupu-sepupu aku tu bukannya mereka tidak tahu membaca monitor timing berlepas tu. Bagilah explaination sikit kat orang-orang yang lebih tua. Seorang pun tiada yang bagi tahu aku dan Pak Uchu aku masa sebenar mereka ni berlepas! cukup dikesalkan! Aku agak-agak kalau delayed pun mungkin dalam sekitar 45minit ke satu jam.

Perancangan aku, aku nak ke KLIA sekitar jam 6.00pm. Solat Maghrib di KLIA jer. Tapi terlajak tidur, sedar-sedar sudah menghampiri waktu Maghrib. Kelam kabut aku bersiap. Aku berjalan kaki, tapi dah hampir berlari mengejar train. Alhamdulillah aku tiba jua di KLIA 45 minit sebelum kapal terbang mendarat. Sempat gak makan dan minum sebelum menyambut mereka.

Aku sebenarnya kerisauan dengan keadaan kedua orang tuaku. Mereka bukannya sihat sangat. Tapi dikejauhan tadi dibalai ketibaan, mereka melambai-lambai tersenyum riang. Alhamdulillah, ayahku gagah melangkah walaupun tak berapa stabil lagi. Risau juga kalau kebatasan tempat duduk tidak memberikan ruang keselesaan untuk ayahku. Setelah selesai menguruskan pengangkutan kedua orang tuaku yang kembali ke Shah Alam, aku pun kembali ke Kuala Lumpur semula. Sekurang-kurangnya sahih dihadapan mata aku mereka berdua sihat walafiat seperti yang selalu mereka gambarkan dalam telefon. Sebab aku sendiri pun jarang mahu memberitahu mereka keadaan kesihatan aku sebab aku tidak mahu mereka bimbang. Sudah tentu mereka juga berkeadaan demikian. Jadi cara tebaik, bersemuka empat mata.

Tuesday, March 15, 2011

Duka Selepas Suka

Assalamualaikum semua... Semoga didalam rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T hendaknya. Alhamdulillah aku beransur sihat walaupun tidak sihat sepenuhnya. Mungkin ini harga yang harus aku bayar setelah berjimba-jimba dimalam minggu yang lepas.

Dimalam minggu yang lepas, ditemani Pak Uchu aku dan Adik kesayanganku, kami menyusuri seksyen 7, Shah Alam menuju ke I-City. Bukan kali pertama aku kesitu, tapi kali pertama buat Adikku. Memang seasal perancangan kami, aku ingin membawa Adikku kesitu. Sebab selama ini beliau hanya memerhatikan dari jauh sahaja.

Sampai dipintu masuk I-City, aku terkejut bila difahamkan bahawa untuk masuk ke I-City dikenakan bayaran RM10. Sebab sebelum ini, aku pergi tiada bayaran dikenakan dengan alasan ketika itu waktu pembukaan. Hahaha. Lawak.

Sampai disitu detinasi kami berubah bila terpandang Snow walk yang baru dibuka. Menarik! Tapi bayaran RM25 dikenakan untuk setiap seorang dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak. Diskaun RM10 akan diberikan sekiranya anda ada memiliki resit untuk masuk. Hahaha. Duit lagi. Lawak. Memang pandai kerajaan negeri buat duit. Nasib jaket dipinjamkan secara percuma. Manakala kasut pula dikenakan bayaran RM20. RM10 untuk sewa dan RM10 lagi untuk deposit dan diberikan stokin percuma.

Mula-mula aku berkeras menyuruh Adikku dan Pak Uchu aku memakai selipar jer. Tapi abang yang jaga kat pintu masuk menunjukkan seorang lelaki India yang masuk hanya lima minit sahaja sebab berselipar. Maka, hendak tak hendak terpaksalah menyewa kasut. Aku sememangnya sudah berkasut.

Masuk jer kedalam, Masyaallah! sejuknya... Memang terasa sejuknya. Tapi aku terlalu excited. Dah mula rasa feeling2 kat London gitu. Hahaha. Aku siap memegang ais kisar yang dibuat salji (hahaha. sebab itulah impian aku). Akibatnya, tangan aku kesejukan dan terasa kebas.

Tengah Feeling2 kat London. Masa ni, Masyaallah! tangan aku dah sejuk giler, keras dan kebas.

Tapi semangat aku nak meneroka masuk kedalam serta memikirkan bayaran RM25 yang dikenakan, aku meneruskan perjalanan. masa ni tangan aku dah masuk dalam jaket baju. Sebab tangan aku dah mula rasa kebas-kebas dan saki-sakit.

Dengan Pak Uchu aku, dirumah ais

Mujur kat dalam tu ada Bangla yang jual penutup telinga, sarung tangan dan stokin. Kerana ketahanan tubuh badan aku menyahaktifkan suhu sejuk yang menggila rendah, maka aku membeli juga sarung tangan dengan harga RM10. Begitu juga dengan Adik dan Pak Uchu aku. Rupanya selama ini mereka menahan rasa sejuk sebab nak duduk kat dalam tu lebih lama supaya berbaloi dengan apa yang dibayar.

Apa yang ada didalam? Menurut pemerhatian aku, Boleh tahan jugalah... Ada rumah Ais, Ada iglu, ada permainan untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Masalahnya sama ada anda berani mencuba atau tidak. Kerana keberanian itulah aku sakit-sakit badan sampai sekarang.

Dengan Adikku

Aku rasa hampir 45minit kami kat dalam tu. bergambar, bermain dan menikmati keindahan yang ada didalam. Snow Walk ni baru sahaja dibuka dan masih dalam peringkat menaik taraf lagi. Dengar ceritanya bakal ada salji yang turun masa perasmiannya pada 19 Mac ini.

Bagi mereka yang hendak kesana, bersiaplah lebih awal untuk penjimatan. Bawalah sarung tangan siap-siap dari rumah. Pakailah kasut dan stokin. Semasa kami menuju jalan keluar, kami terserempak dengan dua orang pemuda yang masuk kedalam dengan hanya memakai jaket dan berseluar pendek serta berselipar. Hahaha. Confirm tak lama didalam tu.

Masa nak keluar tu baru aku perasan, suhu didalam mencecah -5 darjah celcius. Ketika itu nafas kami dah mula mengeluarkan asap. Manakala bibir Pak Uchu dan Adik aku sudah mula kelihatan pucat.

Sampai dipintu keluar pun kami masih lagi berlawan siapa yang akan keluar dulu. Disaat pintu keluar dibuka ketika satu keluarga mahu keluar, aku terasa bahang haba yang sangat menyamankan. Secepat kilat aku terus keluar juga. Terasa sungguh nikmat...

Kesan daripada itu, badan aku mula terasa kurang sihat. Impak yang kuterima serta-merta. Sehingga menghilangkan mood aku untuk meneroka Bahagian lain di I-City. Tapi disebabkan bukannya selalu aku dapat peluang macam ini, maka aku gagahkan juga. Sampai santak Subuh barulah kami pulang kerumah masing-masing

Pagi Isnin bila bangun tidur mahu bersiap ketempat kerja, aku mula berasa seram sejuk, badan panas, kepala pening dan loya. Aku demam. Aku yakin ini penangan malam minggu kelmarin. Masakan tidak. Seawal keluar dari Snow Walk aku dah mula terasa kesannya sehingga terbawa-bawa keesokan harinya. Hendak tak hendak aku terpaksalah mengambil cuti sakit. Itupun matahari dah hampir segalah baru aku mampu bangun berjalan keklinik...

Semoga Mereka Selamat

Assalamualaikum semua... Semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Bila Jepun dilanda gempa berukuran 8.9 skala ritcher yang mengakibatkan tsunami dibeberapa bahagian lain di Jepun, aku hanya terdiam. Terkejut. Sesungguhnya demi Allah aku tidak teringat langsung siapa-siapa kenalan aku disana...

Disaat aku mula sihat kembali dan otak aku mampu berfikir dengan lebih mendalam, disaat ini baru aku teringatkan kat si khairul dan Kak Hana yang bermaustautin di Jepun. Aku mesej si Khairul tiada balasan... Menenerusi blog Kak Hana, mereka sekeluarga dalam keadaan selamat. Cuma mengalami gegaran kecil.

Ada beberapa kenalan beliau disana yang menagalami keadaan yang mendukacitakan; terputus bekalan elektrik dan sebagainya... Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat kita termasuk para pelajar dalam keadaan yang selamat.

Dengan isu kebocoran loji nukleur memungkinkan beberapa kemungkinan yang akan berlaku. Ya Allah... Sedangkan disini pun sudah kecoh dengan penyebaran SMS dan juga meneusi Facebook berkenaan hujan radioaktif, apatah lagi disana! Mudah-mudahan semuanya selamat dan keselamatan itu berkekalan hendaknya...

Monday, March 14, 2011

Red Velvet Aiskrim

terlalu gelojoh makan, sehingga terlupa nak ambil gambar. Tapi tetap nak snap gak :-)

Assalamualaikum... Semoga dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Semenjak dua menjak ni, aku rajin menjelajah blog perihal masak-memasak. Bukan masak lauk pauk. Tapi blog perihal memasak kek, brownies, coklat dan biskut.

Dikala kesejukan mencengkam kulit, walaupun tiga helai baju melapisi kulit aku, aku terpandang hidangan mata pembuka selera yang mampu melelehkan air liur aku hingga beberapa camca. Red Velvet Cake... Tersangatlah menggiurkan, seksi, memukau. "Potongan Badannya" mampu membuat aku sesak nafas. Tak mampu untuk aku bertangguh untuk terus menjamahnya. Melumati setiap inci tubuhnya yang gebu berkrim menyusuri setiap rongga mulut aku. Arghhhh lazat!

Apakan daya. Kek itu hanya hiasan mata sebab yang ku tatapi itu hanyalah gambar. Balik kerja, dari kedai kek biasa hingga ke luar biasa, hingga ke biasa-biasa, hingga ke kedai kopi, satu calit krim Red Velvet Cake ni aku tak jumpa. Hampanya hati. Sebagai hambatan untuk tekak agar tak kempunan, maka aku tibai Choc Moist. Huhuhuhu. Bukan rezeki aku. Tak sedap langsung. Secara automatiknya selera makan aku menurun bila aku kempunan dan selera tekak aku tidak dapat dipenuhi. Semua yang ku jamah tak mampu ku telan. Kalah orang mengidam

Secara tidak sengaja, ketika mahu menonton wayang, aku terbeli aiskrim red velvet dari Baskin Robbins. Katanya; rasanya persis kek sebenar. Bolehlah tahan. Walaupun terlebih manis, jadilah melegakan tekak aku yang mengalahkan orang yg mengandung mengidam. Walaupun rasanya tak sama, tapi sedaplah lagi dari Choc Moist yang macam kek bantat rasanya

Friday, March 11, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa Dari Kaca Mata Aku Yang Rabun Jauh


Dikala dua empayar besar bakal disatukan atas dasar perkahwinan, dua hati saling membenci tidak menyukai, si puteri melarikan diri. Si putera membantu dengan rela hati. Pabila tabir tersingkap dan rahsia terungkai, cinta bertaut... Dan cinta disatukan atas kemusnahan cinta orang lain...

Assalamualaikum semua... Semoga sihat dan dalam limpahan rahmat dan kasih sayang daripada Allah S.W.T. Seumur hidup aku mengenali dunia perfileman, aku belum pernah tengok filem yang release on time dengan menempah tiket seawal tiga hari. Biasanya main terjah jer. Ada rezeki, adalah. Transformers Revenge of The Fallen yang aku tunggu-tunggu tu pun selepas 1 minggu ke 2 minggu tayangan baru aku dapat pergi tengok.

Bagi sebuah filem yang berbajet RM8 juta, dibuat Di Malaysia, oleh produksi dari Malaysia, teknik CGI dari Malaysia sudah boleh dikategorikan hebat. Jangan bandingkan filem ini dengan produksi dari luar seperti Star Wars, Avatar, Transformer. Berapa bajet mereka? tapi bandingkan dengan produksi dari Malaysia pula yang terlalu taksub dengan kisah hantu dan mat rempit.

Kalau KRU Studios dapat bajet segah Avatar yang mencecah ratusan ribu dollar, Aku yakin, Zhang Zi Yi yang akan jadi Puteri Raja China, Michelle Yeoh jadi Dayang, Robert Pattinson akan jadi Marcus; Putera Raja Rom dan Ken Watanabe akan jadi Laksamana China. Masalahnya sekarang bajet RM8 juta jer. Maka bagi Yusry Abd Halim dan para krew KRU Studios, mereka mampu mengatasi dan melakukannya dengan hebat sekali. Bagi aku perkataan hebat tu layak aku berikan... Bukan senang mahu hasilkan filem yang sebegitu walaupun kadang-kadang teknik CGI nya nampak kaku dan seperti dalam komik. Contohnya air terjun yang mengalir seperti air terjun lukisan yang airnya bergerak berulang-ulang serta kebakarang kapal yang tidak logik dapat dimaafkan dengan keberkesanan dan garapan didalam babak peperangan.

Hampir 60% filem ini menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya. Walaupun kadang-kadang Bahasa Melayu juga digunakan tapi nampak kekok dibawah pertuturan Rahman Stephen Hughes. Lakonan mantap, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Umi Nazeera dan penampilan istimewa Jehan Miskin Deborah Henry (Miss Malaysia) dan Umi Aida wajar diberi pujian. Mohon maaf Dato' Rahim Razali. Lakonan anda seperti dapat diduga. Saling tidak ubah seperti Dato' Bendahara dalam filem PGL dan lakonan-lakonan anda yang lain.

Dengan bajet RM8 juta, mungkin setakat itu sahaja kostum yang mampu disediakan oleh KRU Studios. Ada seperti yang tidak kena dengan solekan dan kostum Dato' Rahim Razali. Malahan Kostum tentera Rom juga seperti ada kekurangan. Terasa macam pakaian parti Halloween jer.

Dari segi plot cerita, jalan ceritanya agak kemas dan teratur. tidak meleret. Malahan sewaktu babak imbas kembali tidak memerlukan teknik penceritaan yang terlalu panjang untuk penonton memahami apa yang tersirat disebalik yang tersurat.

Untuk buat sebuah filem hikayat tidaklah semudah yang disangkakan. Tak semua juga menyukai apa yang dihasilkan. Dan tak semua juga berpuas hati. Tapi kalau nak puaskan hati semua orang, LU BIKIN FILEM SENDIRI LA BEB!

Dengan penantian aku selama ini, dengan pembelian tiket seawal tiga hari, dengan trailer yang digembar-gemburkan; aku rasa sangat berbaloi menontonya. Dan aku bagi 3 setengah bintang jer... Jadilah dari aku tak bagi bintang langsung untuk filem Magika, Duyung dan Cicakman tu kan... Hahaha

Bagi yang belum menonton, pergilah menonton. Walaupun tidak segah Lord of The Ring, Tapi mampu mengatasi produksi lain dari negara jiran. Selamat Menonton!

p/s: aku ada dua keping tiket free sumbangan Celcom. Siapa nak??? Hahaha

Wednesday, March 9, 2011

Kekurangan Duit Bukan Penyebabnya Tapi Perancangan Yang Betul Dapat Menyelamatkan Keadaan

Assalamualaikum semua... Semoga dalam limpahan dan rahmat daripada Allah S.W.T. Tajuk paling panjang untuk entry kali ini. Aku masih teringat lagi ketika aku bercuti ke Labuan dulu, aku menerima panggilan telefon daripada seorang sahabat yang memohon bantuan kewangan daripada aku. Katanya, dia tersangatlah terdesak sehingga nak pergi kerja pun tak der duit tambang. Aku terkedu...

Kenapa cerita ini berbangkit kembali? Semalam aku bertiga bersama teman sepejabat bercerita perihal tambang pengangkutan awam, khususnya penggunaan LRT. Aku pengguna tegar pengangkutan awam. Pergi kerja dan berjalan merata pun aku pakai perkhidmatan pengangkutan awam. Aku lebih suka bersedia sebelum menghadapi pelbagai kemungkinan yang tidak diduga. Maka selepas dapat gaji aku akan peruntukan sekitar RM150 khusus untuk rapidpass sahaja. Sekiranya aku menghadapi masalah kewangan kelak, aku tiada alasan untuk tidak pergi kerja. Kerja punca rezeki kita. Kalau tidak ada kerja, macam mana nak dapat duit.

Sembang punya sembang dengan kawan aku ni, mereka kurang bersetuju dengan pendapat aku. Bagi mereka, mereka tidak memerlukan rapidpass mahupun kad Touch n Go. Sebab bagi mereka, mereka bukan pengguna pengangkutan awam tegar seperti aku. Tapi bagi aku, apa salahnya menyediakan RM50 dalam kad Touch n Go sebagai persediaan bila kesusahan.

Dengan pendapatan bulanan sebagai penjawat awam yang berpendapatan dan berpangkat rendah serta hidup ditengah-tengah kota metropolitan, agak sukar untuk kita meneruskan kehidupan tanpa perancangan yang teliti. Percayalah cakap aku ni. Pertengahan bulan depan, salah seorang daripada meraka pasti akan mengeluh kerana kekurangan wang dan tak de duit nak buat tambang pergi kerja.

Sekecil mana pun pendapatan seseorang, kalau melalui perancangan yang betul pasti tidak akan membebankan. Perkara pertama yang aku lakukan bila dapat gaji, aku akan keluarkan duit untuk bayar sewa bilik, bil api, bil air dan bayaran rapidpass. Itu adalah WAJIB dan tidak boleh dilewatkan. Selebihnya aku akan agihkan untuk simpanan tetap, ASB, insurans dan tabung kecemasan. Selebihnya itulah aku buat makan, hulur-hulur sedikit untuk mak ayah dan berjoli sakan.

Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana mereka ni sampai tiada duit nak buat pergi tambang kerja? Sampai tertunggak sewa dan bayaran bil? Bagi diri aku, kita sepatutnya utamakan apa yang lebih diutamakan. Aku juga pernah mengalami poket kering. Pagi makan biskut, tengah hari makan roti, malam makan maggi. Malahan sampai berhari-hari. Tapi Alhamdulillah, belum lagi sampai tertunggak sewa bilik dan kesempitan duit untuk tambang pergi kerja...

Tuesday, March 8, 2011

Manalah Aku Tahu...

Asslamualaikum... Semoga semuanya dalam limpahan rahmat daripada Allah S.W.T. Rasanya hampir sebulan aku tidak bersiaran. Semunya berpunca akibat kekangan masa dan keadaan kesihatan yang tidak berapa mengizinkan.

Kali ini aku mahu bercerita perihal satu kisah... Kadang-kadang kita tidak pasti dengan situasi sesorang sama ada sedih atau gembira. Biasanya aku akan mengambil pendekatan yang mengembirakan dengan cara bergurau. Kalau orang tu bersedih, mudah-mudahan akan hilanglah kesedihannya.

Begitu juga dengan diri aku. Ada masanya aku menyampaikan maksud isi hati aku dengan cara yang tajam, berbisa dan double meaning. Siapa yang mengerti, Alhamdulillah... Siapa yang menyalah tafsir, aku tidak salahkan dia.

Kadang-kadang aku pun tidak tahu situasi seseorang itu bagaimana dengan hanya berdasarkan status yang diupdated. Macam manalah nak tahu kalau sekadar berinteraksi dialam maya jer tanpa direct face to face. Maka aku komenlah sekadar bergurau yang bagi aku tidaklah terlalu berat. Dan aku mendapat feedback yang sedikit mengejutkan dan komen aku dideleted. Itu hak dia nak mendelete dan membalas. Aku tidak berkecil hati. Tetapi yang menjadi persoalan dan jauh disudut hati aku, aku terfikir, pernah tak dia berfikir, dia juga pernah berbuat pekara yang sama pada aku? membalas komen tidak kena tempat dan masa?

Mungkin bagi dirinya; mudah menangani perkara dengan cara berterus terang. Aku terima kalau itu memang dah cara dia.

Betul cakap Ayah aku. Tidak semua manusia berfikir macam cara kita berfikir. Dan betul juga kata pepatah; masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak... Kita seharusnya bertindak seperti mana orang tu bertindak...