Followers

Thursday, July 29, 2010

Madu Oh Madu

Salam semua... Salam pagi Khamis yang ceria indah dan permai... Semoga hari Khamis yang menghampiri ambang Ramadhan memberi sejuta rahmat buat aku dan kamu semua.

Semalam, seperti kebiasan hari Rabu malam Khamis, sesudah aku bernekad mahu menceburkan diri dalam bidang MLM, aku mengikuti BP yang disediakan oleh syarikat. Kebiasaannya aku akan pergi bersama-sama sahabat aku Fairuz. Aku tidak pasti bagaimana aku boleh tertarik untuk menceburkan diri kerana sememangnya aku amat membenci MLM.

Mungkin kerana keberkesanan produk yang telah diperakui serta disertakan pengakuan beberapa orang testimonial begitu mengujakan. Bukanlah aku terlalu taksub dengan wang ringgit yang ada kat dalam beg tetapi aku taksub bagaimana orang yang seberat 80kg boleh mengurangkan berat badan sebanyak 13kg dalam masa sebulan dengan hanya minum SD2 tanpa menyekat selera makan mereka... cukup mengujakan sebab aku sendiri menyaksikan didepan mata, lantas aku teringin untuk mencubanya serta merasai sendiri keberkesanannya. Sesungguhnya aku memang menghadapi masalah berat badan. Walaupun orang ramai kata berat badan aku dah ideal, tapi bukanlah berat badan yang aku impikan.

Aku teringat bagaimana aku berjuang untuk menurunkan berat badan. Dengan diet dan Exercise tanpa henti dan aku hanya berjaya mengurangkan 2kg dalam jangka masa 2 bulan. Kalau kamu semua ditempat aku, tidakkah kamu mahu tahu rahsianya dan mahu mencubanya sendiri?

Ok. Kita berhenti bercerita pasal produk SD2. Kalau betul-betul berhasil seperti yang diwar-warkan, aku akan promote besar-besaran produk ni. Di sini :-) Sekarang ini aku dalam peringkat mengeksperimentasikan diri aku dengan produk ini. Sekarang berat aku 67kg dan aku mahu menjadi 63kg beserta saiz pinggang 34inci menjadi 31inci.

Berbalik pada tajuk diatas, selepas BP, aku beserta beberapa kenalan kami, supper di sebuah restoran mamak. Hu hu hu. Kalau kamu tengok mereka ni semua makan, macam tak hengat dunia tapi badan comel-comel belaka. Jeles sungguh aku... aku seperti kebiasan terpaksa makan makanan yang kurang kalori kerana takut kegemukan.

Tengah asyik bercerita dan berkongsi ilmu, aku terpandang lirikan mata seorang sahabat aku ni. Begitu asyik melihat perempuan-perempuan disebelah beliau. Yang lain pula seronok bercerita kisah gewe-gewe. Pada hal mereka semua sudah terikat secara sah dengan wanita bergelar isteri. Tidak cukup satukah mereka ini?

Aku mengutarakan pendapat aku; walaupun poligami itu halal disisi Allah tapi aku tidak berapa menyukainya. Berpoligami seperti suatu pengkhianatan seorang suami kepada isterinya... Menduakan kasih isteri untuk sehidup semati. Sedangkan isteri berhempas pulas untuk membahagiakan suami tetapi kenapa suami masih ingin menambah satu lagi? Tidak puaskah dengan seorang isteri? Siapalah aku untuk mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah. Aku hanya bercerita berdasarkan pengalaman aku. Bukan pengalaman aku berpoligami. Tetapi pengalaman insan-insan yang ku sayangi disekeliling aku.

Aku bertanya dengan seorang sahabat aku; andai kata beliau bermain mata dengan seorang perempuan dengan hanya sekadar niat mahu mengusik sehingga menyebabkan perempuan itu jatuh cinta dan sanggup dimadukan dan secara tidak langsung beliau pun berkemampuan, apakah beliau akan meneruskan untuk berkahwin? Terkedu sedikit beliau.

Maka ketika itu keluarlah fatwa Abg Hisham... Bercerita pasal lori terlebih muatan. Lori diciptakan memang untuk membawa muatan yang kadang-kadang mencecah 1 tan tetapi rodanya kecil. Semua lori sama jer. Akan tetapi eksovernya yg berlainan tulah yang digunakan untuk menampung berat muatan lori.

Aku tahu. fatwa Abg Hisham itu untuk menafikan pendapat aku. Dan aku mengakuinya... Cuba renungkan disini. Bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak, kadang-kadang mereka pun terkurang dan terlebih dalam melayan karenah anak-anak. Bukannya mudah untuk memuaskan dan memenuhi kehendak anak-anak. Inikan pula untuk membina masjid satu lagi... Bukan mampu ke tidak yang menjadi ukuran. Tetapi mampu ketidak untuk mentadbir masjid yang dibina satu lagi tu...

Aku bercerita disini sekadar untuk renungan kita bersama. Salah dan silap diatas penulisan aku ini, aku memohon sejuta kemaafan. Lain orang lain pendapatnya... Madu itu memang manis. mendapat payung emas disyurga memang indah. Tetapi berapa kerat yang rasa madu itu manis dan berapa kerat yang rasa payung emas itu indah. Tepuk dada, tanya diri sendiri...

Friday, July 23, 2010

Kemaruk

Salam semua... Salam petang Jumaat yang hening nan indah. Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan oleh Allah segala urusan yang tidak berkenan dihati. Tak mahu lagi bercerita pasal benda-benda yang tak sepatutnya. Aku mampu menerimanya dengan berlapang dada, jauh dari sifat aku yang sebenar yang suka memberontak.

Kamu semua pernah taksub dengan sesuatu perkara? Contohnya macam taksub mengumpul keychain. Pantang je jumpa keychain pelik, mesti beli... Taksub dengan cerita atau drama di televisyen. Kalau terlepas satu episod macam tak senang duduk... Pernah ke kamu semua mengalaminya?

Aku dulu terlalu taksub dengan cerita Harry Potter. Sanggup berebut nak membeli Deathly Hallows masa mula-mula release kat pasaran Malaysia. Semua siri buku Harry Potter aku memilikinya. Begitu juga dengan koleksi filemnya.

Masa berlalu... Aku masih lagi meminati Harry Potter. Masih menanti filem terakhirnya menjengah panggung wayang Malaysia. Taksub menonton trailernya. Tapi tidak sekemaruk dulu. Sekarang perhatian aku teralih. Aku teruja dengan kisah percintaan manusia dengan pontianak diserikan lagi dengan kehadiran serigala jadian... Cukup teruja

Aku hampir selesai menghabiskan Eclipse... Aku mengambil masa yang terlalu lama membaca buku berbanding dengan manusia biasa... (ha ha ha. Berangan jadi pontianak ke?). Makan masa berhari-hari. Malah boleh jadi berminggu-minggu kerana aku terlalu sangat menyelami kedalam jalan ceritanya... (tak kiralah buku apa)

Dalam kebosanan aku menghabiskan shift sehingga pukul 8.00pm semalam, aku google pasal Breaking Dawn, siri terakhir Twilight. Manalah tahu kalau aku terserempak dengan trailer filem tu. Aku menemui maklumat yang lain, yang membuat nafsu aku teruja ketahap taksub. Lepas kerja, aku terus ke Mid Valley. Cari ATM Machine, keluarkan duit, masuk MPH terus rembat Breaking Dawn yang hanya tinggal beberapa naskah lagi. Tak menyempat, aku terus buka pembalutnya dan mencari maklumat-maklumat yang tertentu... Menakjubkan. Aku sendiri pun terkedu.

Kalau kamu semua baca entry aku yang sebelum ini, aku langsung tak ambil kisah pasal siri twilight ni. Bagi aku, siri ni serupa dengan kisah cinta remaja ala fairy tales dan bukanlah sesuatu yang aku sukai dan gemari... Tapi aku silap. Ceritanya lebih daripada itu. Sangat berbeza antara filem dan buku. Dalam buku, olahan, garapan dan penceritaannya mampu membuat aku menahan berak untuk beberapa minit lagi. he he he. Aku tak lah kata filemnya tak best. Kalau tak best masakan aku sanggup menontonnya sehingga dua kali. Cuma kurang menyengat berbanding buku.

Itu semua selera masing-masing. Tak semua menyukainya. Aku pun sebegitu. Tapi itu dulu :-)

Wednesday, July 21, 2010

Pada Mu Ku Bersujud


Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya nama-Mu Ya Allah

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba-Mu yang slalu bertakwa

Ampuniku Ya Allah
Yang sering melupakan-Mu
Saat Kau limpahkan karunia-Mu
Dalam sunyi aku bersujud

pada-MU

*Pada wajah, terpercik ketenangan, gelora dihati, tiada siapa yang tahu...

Tuesday, July 20, 2010

Berita

Salam semua... Salam petang Selasa yang remang-remang senja diringi hujan gerimis. Aku masih lagi di opis menghabiskan sisa-sisa shift aku sehingga ke pukul 8pm...

Tengah hari tadi aku menerima khabar berita yang sudah aku sedia maklum melalui firasat aku, yang tidak seberapa. Tak mengapalah. Rezeki masing-masing. Mungkin rezeki aku takat ini sahaja tetapi aku bersyukur sekurang-kurangya aku masih lagi diberi nafas untuk menjadi khalifah dimuka bumiNya.

Kalau mereka ingat aku akan meroyan, terpekik terlolong, terjerit-jerit memaki hamun dan berdrama merayu berserta air mata bagai, sememangnya mereka salah orang. Bagi aku ini lumrah kehidupan. Aku sudah mencuba yang terbaik dan takat ini sahajalah yang mampu aku lakukan. Terpulang pada mereka untuk menilai dan menerimanya. Jikalau penerimaan mereka sebegini, aku terima. Kalau mereka sengaja membuat aku sebegini, Allah maha berkuasa... Membuat orang lain teraniya, kau akan dapat balasannya. Sekarang ini, Allah bayar debit... Cash... No kredit anymore.

Aku pun tak berapa betah lagi disini, beban yang selama ini berada dipundakku, terasa terlepas dan berasa ringan sedikit. Cuma mungkin terlalu awal dari jangkaan aku. Sekurang-kurangnya aku tak terikat lagi. Lepas bebas...

Tapi seperti kebiasan perangai aku, kalau orang palitkan tahi kat aku, aku akan balas balik. Tunggu dan lihat apa yang mampu aku lakukan ;-)

Monday, July 19, 2010

Marathon Lagi

Salam semua... Salam petang Isnin yang hening. Minggu ni aku kerja shift petang. Jadi ada dua jam masa untuk berjimba-jimba sebelum aku menutup library. He he he. Semenjak dua menjak ni internet aku bermasalah sedikit. Susah nak update, reply comments dan terjah blog. Sama ada DiGi line bermasalah ataupun whitey bermasalah. Kat opis pula, segan nak buka blog sebab bos sentiasa ada. Boleh buka kalau nak, tapi lebih baik tak payah buka. Jadi attitude aku nampak macam cantik dan bersih sikit. Kali ini boleh update sebab bos aku dah balik. he he he.


Jumaat dan Sabtu lepas, aku berkesempatan bermarathon lagi menonton wayang. Kali ni pecah rekod. Dalam tempoh 24jam aku tengok 4 filem. Bermula malam sabtu, aku memilih cerita Despicable Me. Cerita ni mengisahkan Gru seorang pencuri professional yang mencuri benda-benda yang menjadi perhatian seluruh dunia. Benda terakhir yang dicurinya ialah Skrin Jumbo TV New York Time Square. Gru seorang yang langsung tidak mempunyai perasaan, tidak berperikemanusian dan bangga dengan perkara-perkara yang dilakukannya.

Suatu hari tersebar cerita piramid di Mesir telah dicuri yang meletakkan diri Gru bukan lagi antara pencuri yang terhebat. Maka di merancang satu plan untuk mencuri bulan dengan cara mengecilkan bulan menggunakan pistol pengecil. Disini bermulalah agenda Gru dalam misinya mencuri bulan. Mula-mula Gru memohon bantuan kewangan dari Bank of Devil untuk membina roket, tetapi ditolak atas sebab hasil pencurian Gru yang tidak mendatangkan keuntungan kepada bank. Disinilah Gru berkenalan dengan Vektor seorang yang naif tapi telah mencabar kewibawaan Gru kerana Vektorlah yang bertanggungjawab atas kehilangan piramid di Mesir. Atas sebab itu, maka Gru berusaha untuk membuktikan bahawa dia masih lagi seorang pencuri terhebat abad ini. Bermacam cara digunakan termasuklah mengambil 3 orang anak angkat yang bernama Margo, Agnes dan Edith. Watak Agnes paling comel sekali.

Disebalik kisah Gru, terselit kisah menyayat hati tiga orang budak terbabit. Dimana mereka dibesarkan disebuah rumah anak yatim. Saban hari mereka keluar menjual biskut dan antara pelanggan mereka adalah Vektor. Setiap malam mereka berdoa semoga suatu hari ada insan yang baik hati yang sudi mengambil mereka sebagai anak angkat...

Opss... kalau aku citer sampai habis, tak best la kan. Apa kata kamu semua luangkan masa bersama-sama keluarga menonton cerita ni. Tak rugi. Bagi aku inilah cerita kartun terbaik yang aku tonton selepas Kung Fu Panda. Penuh emosi, lawak jenaka, kekecewaan, kegembiraan dan juga perasaan marah dan geram. Semua elemen di campur dan diolah serta diadun menjadi satu serita yang penuh rencah dan warna warni. Walaupun jalan ceritanya yang simple tapi pengolahannya membuat penonton teruja untuk mengetahui setiap kesudahannya.

Ada juga beberapa kelemahan dalam cerita ni. Watak tiga budak tu kurang diperkembangkan dengan baik. Seperti asal usul mereka dan pertalian antara ketiga-tiga mereka. Apa pun aku bagi 5 bintang untuk cerita ini. Kenapa? sebab cerita ini mampu membuat aku ketawa dan berasa sedih serentak...

Filem seterusnya; Eclipse. Ha ha ha. macam tak percaya aku menontonya untuk kedua kali dengan rela hati. Jarang sekali aku menonton filem dua kali di panggung. Setakat ni Harry Potter and The Goblet of Fire dan Pontianak Harum Sundal Malam II yang aku menontonnya sebanyak dua kali, itu pun sebab terpaksa...

Eclipse aku sudah ceritakannya pada entry yang lepas. Kali ini aku menontonnya tidak berseorangan. Hari Sabtu yang damai, aku ada date dengan hanny. Kami menonton wayang bersama. Tiga cerita sekali. Siapa hanny. ha ha ha. Biarlah rahsia. Aku pilih Eclipse pun sebab aku tahu, Twilight Saga antara filem kegemarannya. Macam aku cakap, Eclipse bukanlah filem yang akan melekat kat kepala otak aku untuk tempoh jangka masa yang lama tapi boleh dikatakan terbaik berbanding Predators dan jufa terbaik dalam kelompoknya yang tersendiri.


Selepas lunch ala kadar kami masuk panggung lagi. Filem seterusnya, Inception. Filem yang agak berat temanya. Selepas matrix, aku menanti-nanti filem yang mampu membuat aku teruja disebabkan kewujudan dunia lain selain dunia realiti. Cerita ini mengisahkan Dom Cobb seorang pencuri maklumat dari minda melalui mimpi seseorang. Tugas terakhir beliau membawa beliau bertemu Saito, seorang ahli perniagaan korporat.

Dalam misi terakhir Cobb mencuri maklumat daripada mimpi Saito, beliau kehilangan seorang arkitek perancang mimpi dan Saito yang mengkagumi kelebihan Cobb menawarkan peluang pekerjaan dalam misi menanam idea, maklumat dan pemikiran palsu (dalam cerita ni benda ni ada istilahnya yang tersendiri dan aku terlupa...) dalam pemikiran pesaing dia; Fisher melalui mimpi dengan ganjaran, nama cobb dibersihkan dari tuduhan membunuh isterinya Mal dan dapat bertemu kembali dengan anak-anaknya.

Melihat peluang yang ada didepan mata, Cobb bersetuju dan mula mengumpul ahli-ahli pasukannya yang terbaru selain Arthur termasuk ahli kimia Yusuf, pakar arkitek yang masih lagi belajar Ariadne, dan pakar penyamaran Earnes. Misi kali ini disertai Saito sendiri sebagai seorang pelancong. Apakah misi mereka berjaya? Siapa pula yang membunuh Mal. Anda saksikan sendiri... :-)

Dunia mimpi dan realiti lebih kurang sama. Tiada tenaga yang luar biasa, kehebatan dalam seni bela diri dan pertarungan diluar batasan minda kita. Semuanya berlaku secara semulajadi kecuali ia terjadi didalam mimpi. Aku sendiri tak pernah terfikir cerita yang sebegini. Anda jangan terkejut, dalam mimpi, mereka mampu bermimpi lagi dan dalam mimpi tersebut, mereka bermimpi lagi...

Cerita ini sehebat The Matrix, tu yang mampu aku katakan. Sesi pertarungan dalam graviti sifar cukup mengujakan aku. Setiap babak mampu disempurnakan dengan baik dan teliti. Cuma satu sahaja. Setiap plot diolah terlalu pantas dan kadang-kadang aku terasa pening untuk memahaminya. Permulaan cerita yang agak terklimaks sedikit, membuat aku tertanya-tanya siapa penjahat yang sebenarnya... Watak Cobb agak merumitkan dengan kisah silam beliau yang sering menghantui diri beliau sendiri sehingga beliau takut untuk menjadi arkitek mimpi, pada hal beliau adalah antara arkitek mimpi yang terbaik. Satu lagi, aku rasa tiada sebab Saito harus ikut serta dalam misi ini melainkan penerbit mahukan cerita ini kelihatan berbeza dipermulaannya. Aku akui, cerita ini sedikit berbeza dari cerita yang lain diawal permulaan.

Pengakhiran cerita ini cukup mengujakan. Berkemungkinankah akan ada Inception 2. Sungguh sayang jika cerita seperti ini ditamatkan sebegitu sahaja. Untuk Inception, aku bagi 3 setengah bintang. Bagi penggemar filem Matrix, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya.


Selepas Inception, kami pergi mencari toilet dan cari makanan untuk diseludup masuk untuk filem yang seterusnya. Kali ini aku memilih filem melayu genre seram; Mantra.

Mungkin melalui trailer filem tersebut kita disajikan dengan adengan-adengan yang terasa boleh meremangkan bulu roma. Seperti kebiasaannya filem melayu lebih indah trailer dari ceritanya... Inilah cerita seram yang paling tak seram sekali yang pernah aku tonton. Aku rasa rata-rata orang dalam panggung kecewa dengan filem ini. Filem ini bukanlah terlalu hampas sangat. Bagi aku jalan ceritanya menarik, kuat dan disertai pelakon-pelakon yang berwibawa tetapi garapan dan pengolahan cerita ini sungguh mengecewakan. Aku tak nampak apa elemen seram yang cuba ditampil oleh pengarah. Filem Zombie Kampung Pisang tu lagi bagus dari Mantra.

Jangan salahkan kenapa orang kita tak suka tengok filem sendiri kalau inilah keberhasilannya... Sunguh mengecewakan. Cerita seram menjadi cerita kelakar. Dengan RM12 aku rasa tak berbaloi sangat dan layak tengok DVD cetak rompak RM5 jer. Jangan marah dan cepat melenting... Tapi seharusnya Mantra boleh dihasilkan dengan lebih bagus lagi ditangan orang yang lebih kreatif.

Cerita sehebat mana pun, tapi bila ditangani oleh orang yang tak sesuai, cerita tu akan hancur juga. Aku tak mahu ulas panjang cerita ini dan aku tak galakan kamu semua menontonnya sebab indah khabar dari rupa. Tunggu sahajalah versi cetak rompaknya dipasaran. Itu mungkin lebih berbaloi...

Habis sudah cerita pasal marathon. Aku pulang dalam kepuasan yang maksima. Sebab aku dapat menonton filem-filem yang aku mahu walaupun filem terakhir sedikit mengecewakan. Minta maaf kalau aku terlalu mengasari filem Mantra. Sebab aku mengharapkan sesuatu yang berlainan dari filem tu...

So, hanny. I'm waiting your review from your perception. Janganlah blog tu dibiarkan terus berhabuk yer... :-)